18 Dis 2012
Pagi tadi ramai yang datang ke mahkamah
bawa surat saman tapi pegawai JPJ arah mereka kumpulkan surat dan
suruh mereka balik, kata peguam KASE.
KUALA LUMPUR: PAS mendakwa kes saman
Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Mahkamah Putrajaya, Kajang
dan Jalan Duta kini ditarik balik dan semua Orang Kena Saman (OKS)
dilepaskan daripada dakwaan.
Penasihat Undang-Undang Kempen Anti
Saman Ekor (KASE) Zulhazmi Shariff mendakwa, kejadian berlaku sejak
semalam apabila pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang
bertugas mengendalikan kes di Mahkamah Majistret Jalan Duta
mengarahkan OKS supaya pulang begitu saja tanpa dikenakan sebarang
dakwaan.
“Pagi tadi ramai yang datang ke
mahkamah bawa surat saman tapi pegawai JPJ arah mereka kumpulkan
surat dan suruh mereka balik,” katanya dalam sidang media di
Pejabat Agung PAS di sini hari ini.
Sementara di Mahkamah Putrajaya pula,
Zulhazmi berkata Timbalan Pendakwa Raya menarik balik pertuduhan kes
sekaligus OKS dilepas tanpa dibebaskan atas alasan wujudnya
‘kesilapan teknikal’.
Beliau juga mendakwa kes yang
dikendalikannya turut ditangguhkan apabila pihak pendakwaan memohon
kes ditangguh selama sebulan atas alasan dokumen yang sepatutnya
disediakan JPJ tidak lengkap.
“Tindakan ini kemungkinan berpunca
daripada bantahan besar-besaran KASE pada 9 Disember lalu dimahkamah
tentang JPJ yang tidak ada kuasa untuk mendakwa melainkan Timbalan
Pendakwa Raya daripada Pejabat Peguam Negara,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk
Mahfuz Omar berkata perkembangan ini sesuatu yang mengejutkan kerana
tidak ada satu pengumuman yang jelas tentang kedudukan saman AES yang
dikeluarkan.
“Bagi saya kerajaan sepatutnya
umumkan secara rasmi pembatalan ke atas semua 256,899 saman yang
dikeluarkan termasuk yang sudah bayar kompaun dan mengaku salah serta
didenda di mahkamah,” katanya.
Beliau turut menggesa JPJ dan kerajaan
memulangkan semula wang kompaun yang telah dibayar OKS kerana proses
saman AES yang tidak sah, selain meminta supaya semua waran tangkap
yang dikenakan terhadap orang yang tidak hadir ke mahkamah dibatalkan
sama sekali.
“Kerajaan perlu kembalikan wang
rakyat kerana surat saman tu tak betul jadi wang yang dibayar kepada
kerajaan adalah wang yang haram.
“Haram kalau kerajaan terima wang
tersebut maka wajar bayar balik wang tersebut kalau tak ini bermakna
kerajaan seperti menjadi ejen pengutip wang haram,” katanya.
BATALKAN 300,000 SAMAN, WANG 10,000
PEMBAYAR AES MESTI DIPULANG
KUALA LUMPUR 18 Dis: 300,000 saman
Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) perlu dibatalkan dan saman yang
dibayar oleh 10,000 pengguna jalan raya wajib dipulang jika kerajaan
ikhlas mahu menghapuskan sistem tersebut.
“Wang saman yang dibayar 10,000
rakyat mesti dipulangkan semula. Ini tak adil pada mereka. 300,000
saman yang dikeluarkan mesti dibatal serta merta,” kata Exco
Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu
kepada Keadilan Daily.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan
Negeri Pandamaran berkata, Kerajaan Pusat berdolak dalik dan masih
menipu jika hanya ‘mempertimbang untuk membekukan’ AES.
“Mempertimbang atau membeku hanyalah
tempoh untuk tangguh. Sampai bila? Sampai pilihan raya? Kalau ini
benar, maka, ia hanya langkah sementara untuk mengelak Barisan
Nasional kalah Pilihan Raya Umum ke-13.
“Majoriti rakyat tak suka, sebab itu
dia (kerajaan) tangguhkan?” soalnya.
“Dia (Kerajaan Pusat) tak jujur. Saya
yakin mereka akan kuatkuasa semula sistem AES jika menang pilihan
raya. Hanya satu cara, kalahkan mereka (BN),” kata Ronnie.
Jelasnya, menurut undang-undang
kerajaan tempatan, ‘pengusaha’ AES telah melanggar Akta Parit,
Jalan dan Saliran.
Merujuk Subseksyen 2(1) Akta 172 Akta
Perancangan Bandar dan Desa 1976, Kebenaran Merancang (KM)
ditakrifkan sebagai ‘kebenaran yang diberikan, dengan atau tanpa
syarat, untuk menjalankan pemajuan’.
“Mereka (AES) tak mohon, jadi tak
dapat kelulusan PBT (Pihak Berkuasa Tempatan). AES ialah struktur
haram. Tak kira sama ada mereka bina atas premis sendiri, tanah
sendiri atau tanah sewa, dia (AES) mesti dapat Kebenaran Merancang.
“Ini sangat jelas. Tiada ‘grey
area’,” tegas Ronnie.
PEGUAM NEGARA ARAH GANTUNG KES SAMAN
AES
18 Dis 2012
Pejabat Peguam Negara hari ini
mengarahkan supaya semua prosiding kes saman melalui Sistem
Penguatkuasan Automatik (AES) digantung.
Dalam satu kenyataan petang ini, ia
bagaimanapun menegaskan bahawa saman melalui AES yang dikeluarkan
oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah sah.
"Bagaimanapun, ekoran kebimbangan
yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu mengenai undang-undang
dan aspek teknikal lain, maka Pejabat Peguam Negara telah memutuskan
untuk mengkaji perkara itu dan mengarahkan semua prosiding
ditangguhkan sehingga kebimbangan tersebut ditangani.
"Satu keputusan akan dibuat dalam
tempoh beberapa hari akan datang mengenai isu berkenaan,"
tambahnya.
Mengenai empat kes saman yang telah
dilepaskan tanpa dibebaskan, semuanya akan dikaji semula dan akan
didaftar semula jika pendakwaan perlu dibuat.