17 Dis 2012
SEREMBAN: Ketua Pembangkang Dewan
Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Loke Siew Fook (Lobak-DAP)
hari ini melahirkan rasa kesal terhadap Speaker Dato’ Razak Mansor
kerana mewujudkan duluan (precedent) apabila melangkaui sessi
perbahasan Rang Undang -Undang Enakmen Perbekalan (2013) dan Usul
Anggaran Pembangunan Negeri Sembilan (Belanjawan 2013).
Selepas berakhir sessi
pertanyaan-pertanyaan lisan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN);
Razak memulakan sessi perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen
Perbekalan Tambahan 2012 (Belanjawan Tambahan 2012).
Ketika Menteri Besar Negeri Sembilan,
Mohamad Hasan (Rantau – BN) baru memulakan bacaan Belanjawan
Tambahan 2012; Loke bingkas bangun dan membantah bahawa sessi atau
agenda tersebut tidak mengikut aturcara atau tradisi Persidangan DUN.
“Jumaat lepas kerajaan telah
bentangkan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan (2013) dan Usul
Anggaran Pembangunan Negeri Sembilan (Belanjawan 2013).
“Sepatutnya kita harus bahaskan
Belanjawan 2013 dahulu kerana ianya telah dicadangkan dan disokong
pada hari pertama Persidangan DUN berlangsung.
Susunan tidak betul
“Selepas dicadang dan disokong, Rang
Undang-Undang Belanjawan 2013 mesti dibahaskan dahulu. Tidak boleh
‘jump the queue’ dengan membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen
Perbekalan Tambahan 2012 (Belanjawan Tambahan 2012). Ini susunan atau
‘flow’ yang tidak betul.
“Belanjawan 2013 merupakan keutamaan
(priority). Selepas dibahaskan dan diluluskan Belanjawan 2013,
barulah boleh bahaskan Belanjawan Tambahan 2012.
“Saya amat kesal kerana Speaker ‘set
precedent’ yang buruk dan tak baik,” kata Loke.
Loke juga meminta Razak menunjukkan
peraturan (Persidangan DUN) mana yang membenarkan sesuatu usul boleh
dilangkau sebelum usul terlebih dahulu diselesaikan (dibahaskan).
Razak pula menunjukkan Buku Peraturan
Persidangan DUN kepada Loke tanpa membacakan sebarang Peraturan
Persidangan DUN secara spesifik.
Mohamad pula bangun semula dan bertanya
kepada Loke Peraturan Persidangan DUN yang mana kata bahawa usul
tidak boleh dilangkau.
Loke bertanya semula kepada Mohamad dan
Razak; Peraturan Persidangan DUN yang mana membenarkan sesebuah usul
boleh dilangkau.
Seterusnya Razak meneruskan sessi
Belanjawan Tambahan 2012. Selepas itu barulah sessi Belanjawan 2013
disambung semula.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan