24 Dis 2012 - Seorang saksi yang turut
mengikuti Kembara Oren ‘Selamatkan Felda’ Negeri Sembilan semalam
kesal apabila polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) langsung
tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghalang serangan samseng
Umno ke atas kumpulan itu.
Samseng yang membawa bendera BN
menghalang Kembara Oren masuk ke kawasan Felda Bukit Rokan Utara.
Rebin Birham yang juga Setiausaha Biro
Felda dan Orang Asal KEADILAN berkata, sikap pihak berkuasa amat
mendukacitakan, walaupun peserta konvoi dipukul, dipijak dan diserang
dengan pelbagai objek keras, tetapi serangan itu hanya mampu dilihat
dan dibiarkan oleh polis.
“Felda Bukit Rokan Barat dan Utara,
dan di Tampin, paling teruk berlaku provokasi. Penyokong Umno
awal-awal sudah menunggu dengan bangga mengibarkan bendera BN, sambil
memegang kayu, besi dan batu besar,” jelasnya kepada Keadilan
Daily.
“Apa yang lebih menyedihkan apabila
pasukan Rela turut membantu mereka membawa bendera tersebut,” kata
Rebin yang juga Naib Ketua KEADILAN Cabang Jempol.
Menurut Rebin, pihak konvoi diberitahu
serangan itu mendapat arahan pihak pengurusan Felda, yang mengarahkan
penyokong Umno, pihak berkuasa dan anak muda Felda agar menghalang
kembara dari memasuki kawasan tersebut.
“Saya percaya sebahagian besar mereka
yang menyerang itu adalah remaja belasan tahun yang diupah. Kami tak
lawan, kami cuma bertahan, itu yang menjadikan keadaan kami teruk
diserang,” jelasnya.
Akibat serangan itu, Ketua Penerangan
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Naraza Muda cedera
di bahagian kepala dipercayai dipukul dengan sebatang kayu yang
tajam.
Jurukamera yang berdiri di bahagian
belakang pacuan empat roda turut dipukul sehingga jatuh dari
kenderaan lalu dipijak, selain cermin depan dipecahkan.
“Jelas Umno sangat terdesak. Mereka
takut kita sampaikan maklumat yang benar tentang penyelewengan mereka
kepada orang Felda,” kata Rebin.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan