20 Dis 2012 : Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak mempertaruh masa depan 7,000 graduan Ijazah Sarjana
Muda Pendidikan (ISMP) Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) demi
mengaut keuntungan daripada pelajar, sedangkan kursus tersebut gagal
menawar peluang pekerjaan kepada mereka.
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi
Ramli berkata, dari jumlah itu, 2,000 graduan tersebut adalah
daripada Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) yang dipengerusikan
oleh Najib.
Beliau berkata, seluruh graduan
tersebut masih menganggur menyebabkan mereka tidak mampu membayar
hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Umno perlu bertangungjawab terhadap
nasib graduan-graduan ini kerana institusi yang rapat dengan pimpinan
Umno antaranya seperti UniRazak.
“UniRazak dimiliki Yayasan Pintar dan
Lembaga Pengarahnya dianggotai Datuk Seri Najib, Datuk Seri
Hishammuddin Hussien, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Mustapha
Mohamad dan Datuk Seri Ali Rustam,” katanya pada sidang media di
Ibu Pejabat KEADILAN di sini hari ini.
Menurutnya, perkara tersebut berpunca
apabila pemimpin Umno memperdagangkan institusi pendidikan demi
kemewahan.
“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)
dalam masa sama meluluskan kuota pengambilan yang memberi lesen
kepada UniRazak dengan memberi gambaran graduan-graduan ini akan
mendapat pekerjaan di dalam perkhidmatan perguruan negara.
“Di manakah moral pimpinan-pimpinan
ini yang boleh ‘cuci tangan’ apabila graduan-graduan UniRazak
lulusan ISMP tersadai tanpa peluang pekerjaan, sedangkan universiti
yang dikendalikan mereka bersekongkol dengan KPT untuk menawarkan
kursus perguruan meskipun mereka tahu kekosongan jawatan tidak
mengizinkan pengambilan sedemikian rupa,” jelas Rafizi.
Sementara itu, Presiden Mahasiswa
KEADILAN Malaysia, Haziq Abdul Aziz yang hadir sama mendesak kerajaan
menyelesaikan segera berhubung pengangguran ISMP.
“Graduan ISMP ini dikatakan tidak
layak untuk memohon pekerjaan sebagai guru di sekolah-sekolah
kerajaan walaupun MQA mengiktiraf sijil ijazah pendidikan UniRazak.
Malah silibus ISMP UniRazak adalah sama dengan silibus ISMP di Maktab
Perguruan IPTA (Institusi Pengajian Tinggi Awam).
“KPT bertanggungjawab memberi
kelulusan kepada UniRazak untuk tawarkan kursus ISMP tetapi tidak
dapat memberi jaminan pekerjaan kepada graduan ISMP UniRazak. Mengapa
ditawarkan kursus ISMP tetapi tidak dapat memberi pekerjaan kepada
graduan kursus tersebut?” soalnya.
Beliau menuntut kerajaan memberikan
peluang sama rata kepada graduan IPTS seperti mana graduan IPTA.
“Perlu diberikan peluang sama rata
dalam permohonan penempatan sebagai guru di sekolah-sekolah kerajaan.
Kerajaan mesti selesaikan masalah pengangguran melibatkan graduan
ISMP lepasan IPTS, manakala peluang permohonan adalah sebaiknya
mengikut merit,” katanya.
Pada 27 April lalu, Menteri Pelajaran
yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
menegaskan, sebarang temuduga dan pengambilan kerja untuk graduan
ISMP lepasan IPTS tidak akan dilaksanakan kerana KPM memberi
keutamaan kepada graduan IPTA.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan