KUALA LUMPUR, 5 Dis 2012 — Bekas
Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan hari ini menyatakan
tindakan beliau mengeluarkan komen berkenaan camputangan sesetengah
menteri dan ahli politik dalam urusan polis kerana keadaan sudah
semakin teruk dan jika tidak diperbetulkan, negara akan rosak .
"Perkara ini saya nak dibetulkan,
bukan saya sakit hati kepada sesiapa, nanti orang kata saya ini sebab
sakit hati tidak sambung (kontrak), saya iri hati dengan orang.
"... saya sudah seronok pencen.
Tapi saya tengok benda ini kalau tidak dibetulkan negara kita akan
rosak.
"Saya bercakap ini bukan sebab
saya nak hentam orang..., tidak... tetapi untuk betulkan keadaan.
Keadaan sekarang makin teruk, makin teruk dan saya tidak mahu orang
tidak percaya kepada polis," katanya dipetik dari Sinar Harian
Online.
Manurut Musa (gambar), sejak
akhir-akhir ini campurtangan menteri semakin dalam pasukan polis
semakin parah berbanding dahulu.
"Dulu tak kerap berlaku begini.
Dulu tak ada saya rasa. Masa Menteri Dalam Negeri yang lama-lama kita
tak pernah (dengar) jadi begini. Tapi yang baru-baru ni lah."
"Kalau IGP itu tak berani, ia
berlakulah (campur tangan), kalau IGP berani, maka tak berlakulah.
Saya merasakan kebanyakan IGP tak pernah akan mengikut apa kehendak
menteri suruh buat kalau tak betul mengikut undang-undang lah,"
katanya.
Tambah Musa, tidak menjadi kesalahan
bagi Menteri Dalam Negeri mencampuri urusan polis seperti dalam
hal-hal kenaikan pangkat atau disiplin anggota polis, tetapi tidaklah
sampai ke tahap campur tangan dalam hal-hal berkaitan operasi polis
yang berada di bawah bidang kuasa KPN.
"Macam Bersih, itu IGP sahaja lah
bagi arahan. Tak perlu nak bagi arahan. Kalau salah tindakan IGP,
biar IGP sahaja yang kena tindakan. Janganlah atas arahan turun lagi.
Orang di bawah pun pening kepala nak buat kerja.
"Campur tangan dari segi
pentadbiran itu memang tanggungjawab dia, tetapi jangan lah campur
tangan dalam hal-hal buat kerja polis. Campur tangan dalam operasi
polislah, macam-macamlah. Operasi tak boleh (campur tangan),
pentadbiran tidak apa sebab dia (Menteri Dalam Negeri) Pengerusi
Suruhanjaya Polis," jelas beliau dipetik dari Sinar Harian
Online.
Dalam laporan pagi ini, Musa
mempertahankan dirinya tidak pernah menyalahgunakan kuasa sepanjang
41 tahun berkhidmat dengan pasukan polis walaupun bekas rakan
sepasukannya, Datuk Ramli Yusuff seringkali mengaitkan bekas ketua
polis itu dengan peguam negara (A-G) dan melepaskan diri dari tuduhan
mengaitkan beliau dengan penjenayah Johor.
Musa memberitahu beliau tidak melakukan
apa-apa kesalahan dan bersedia untuk disiasat oleh Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membersihkan namanya.
"Saya tidak ada lakukan
kesalahan," kata Musa apabila dihubungi oleh The Malaysian
Insider malam semalam, sebelum menambah, "Kalau ada salah, biar
SPRM siasat."

Tiada ulasan:
Catat Ulasan