24 Dis 2012
Insiden berlaku berhampiran simpang
masuk ke Felda Bukit Rokan Utara apabila kira-kira 100 orang penduduk
tempatan yang membawa bendera BN.
TAMPIN: Konvoi Oren “Selamatkan
Felda” peringkat Negeri Sembilan semalam tercemar apabila dua
peserta konvoi cedera dan cermin sebuah kereta pacuan empat roda
milik peserta turut pecah.
Insiden berlaku berhampiran simpang
masuk ke Felda Bukit Rokan Utara, Gemencheh, Tampin apabila kira-kira
100 orang penduduk tempatan yang membawa bendera BN menghalang
peserta konvoi seramai 200 orang meneruskan perjalanan.
Menurut Pengarah Program Konvoi Oren
Negeri Sembilan, Abdul Rahman Ramli; ketika peserta konvoi baru
sahaja sampai di lokasi, sekumpulan lelaki yang bersenjatakan kayu
dan batu meluru kepada sebuah kereta pacuan empat roda yang berada di
paling hadapan.
“Mereka memecahkan cermin kereta di
hadapan dan kedua-dua cermin tingkap sebelah kiri kereta dengan kayu.
“Sebenarnya tindakan lelaki-lelaki
yang membawa bendera BN dan Umno ini adalah satu tindakan yang salah.
“Menyedari bantahan daripada mereka,
kami tidak masuk ke Felda Bukit Rokan Utara, sebaliknya hanya
berunding untuk menggunakan jalan besar tersebut untuk ke Felda
Jelai.
“Sebaliknya mereka mencederakan dua
orang lelaki.
“Seorang cedera di kepala dan seorang
lagi di kening. Saya juga kecewa dengan pihak polis yang hanya
melihat insiden itu berlaku dan tidak menghalang lelaki-lelaki yang
mencetuskan provokasi dari awal lagi,” kata Abdul Rahman yang juga
merupakan Yang DiPertua PAS Jempol..
Noraza Muda cedera di kepala sementara
Razali Rashad di kening. Kedua-dua mereka dipukul dengan kayu oleh
dua lelaki yang tidak dikenali di jalan utama berhampiran simpang
masuk Felda Bukit Rokan Utara.
Konvoi Oren NS dibatalkan
Berikutan kejadian itu Noraza, Razali
dan kepimpinan PAS dan PKR yang menyertai konvoi itu membuat laporan
polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Jempol di Bandar Seri Jempol.
Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda
Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman ketika mengadakan sidang akhbar
tergempar di hadapan IPD Jempol, berkata peserta konvoi berkereta itu
hanya berhasrat memasuki kawasan Felda untuk seketika, memberikan
sedikit ucapan ringkas dan mengedar risalah.
“Saya kecewa dengan pihak polis yang
hanya memerhatikan sahaja kejadian peserta konvoi kami diserang.
“Saya mendapat maklumat, bahawa di
lokasi seterusnya iaitu di Felda Jelai, mereka menunggu kami dengan
besi, kayu dan batu.
“Mengambil kira keselamatan peserta
dan saya tidak mahu lebih ramai tercedera, saya mengambil keputusan
untuk membatalkan konvoi ini’” ujar Mazlan.
Halangan di Felda Kepis dan Felda Bukit
Rokan Barat
Sebelum itu, konvoi Oren dihalang masuk
di Felda Kepis oleh lebih 100 penduduk tempatan dan tidak dibenarkan
masuk oleh hampir 80 penduduk Felda Bukit Rokan Barat.
Kepimpinan PAS dan PKR hanya memberi
ucapan ringkas dari atas sebuah kenderaan pacuan empat roda di tepi
jalan utama dan beredar ke Felda Bukit Rokan Utara sebelum insiden
buruk itu berlaku.
Jika tidak kerana insiden peserta
Konvoi Oren diserang dan tercedera, sepatutnya peserta dengan 80
kenderaan meneruskan konvoi ke Felda Jelai, Felda Palong 4, 5 &
6, Felda Lui Selatan dan Felda Serting Hilir.
Ini merupakan insiden ketiga
membabitkan kekecohan terhadap peserta Konvoi Oren. Sebelum ini
kekecohan terhadap Konvoi Oren turut berlaku di Felda Lawin Selatan,
Gerik Perak pada 03 November lepas dan di Felda Jengka 11 pada Ahad
lalu.
Dalam kedua-dua kejadian itu penduduk
Felda terbabit bertindak menghalang peserta konvoi daripada memasuki
kawasan Felda tersebut.
Penganjur nafi peserta berkeras masuk
Felda
Sementara itu Kordinator Konvoi Oren
Negeri Sembilan, Mohd Hassan Tamby menafikan laporan Sinar Harian
hari ini yang melaporkan kekecohan berlaku apabila penganjur dan
peserta tetap berkeras untuk masuk ke penempatan Felda.
Mohd Hassan juga menafikan bahawa
kenderaan pacuan empat roda berwarna oren terlanggar sebuah
motorsikal penduduk sehingga mencetuskan pertelingkahan.
“Saya menafikan dengan
sekeras-kerasnya bahawa kami tetap berkeras untuk masuk ke Felda
Bukit Rokan Utara.
“Menyedari bantahan penduduk di situ
yang saya kira sebagai ahli atau penyokong Umno dan BN (yang membawa
bendera Umno dan BN) terhadap kehadiran konvoi kami, memang kami
sepakat untuk tidak menimbulkan sebarang ketegangan dan mengambil
keputusan untuk tidak masuk ke Felda Bukit Rokan Utara.
“Sebaliknya kami hanya mahu lalu
Jalan Jelai – Dangi untuk ke Felda Jelai. Tetapi mereka menghalang
kami dan mengadakan sekatan jalan di jalan utama Jelai – Dangi
tersebut.
“Kami berunding dengan mereka untuk
lalu jalan tersebut ke Felda Jelai tetapi belum sempat berunding kami
diserang. Ketika mereka meluru pada kenderaan kami itulah, kenderaan
pacuan empat roda yang berwarna kuning berundur untuk selamatkan diri
dan dalam keadaan kelam kabut itu kenderaan itu terlanggar sebuah
motorsikal secara tidak sengaja.
“Bukan kami sahaja tersekat malah
pengguna awam jalan tersebut turut tersekat. Apakah tindakan mereka
membuat sekatan di jalan utama merupakan satu tindakan sah di sisi
undang-undang? Apa tindakan polis? Polis memerhati sahaja.
Persoalannya siapa membuat provakasi?” soal Mohd Hassan.
Turut hadir dalam Konvoi Oren
“Selamatkan Felda”peringkat Negeri Sembilan semalam ialah Yang
DiPertua PAS Tampin, Zakaria Khalim; Ketua Cabang PKR Jempol, Karip
Mohd Salleh; Timbalan Ketua Cabang PKR Rasah dan Ahli Jawatankuasa
Anak, R Tangam dan Naib Ketua Cabang PKR Jempol, T Kumar.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan