20 Dis 2012 - Budak disamun dalam surau : Biarpun berada
dalam surau, seorang kanak-kanak lelaki masih menjadi mangsa jenayah apabila
dia bukan saja dipukul sebaliknya turut disamun dua lelaki dalam kejadian di
sebuah kawasan perumahan di Sungai Besi, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa, Mohd Fairuez
Irwan Shah, 11, bukan saja cedera di kepala sebaliknya kehilangan telefon
bimbit yang dihadiahkan bapanya, Zulkifli Ibrahim, 49, sempena hari lahirnya
pada tahun lalu.
Ketika kejadian, Fairuez menunggu di surau berkenaan bagi
menunaikan solat Zuhur. Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, dia dan
ahli keluarganya dididik bapa supaya menunaikan solat di surau atau masjid
sejak berumur 10 tahun. Menceritakan semula kejadian itu, Fairuez berkata, dia
yang menunggu masuk waktu solat didatangi dua lelaki berusia 20-an.
“Saya kenal seorang saja..lagi seorang saya tidak kenal.
Sebaik datang, mereka rampas telefon bimbit saya. Belum sempat berkata apa-apa,
lelaki itu menumbuk dan memukul saya.
“Mereka
mengarahkan saya supaya pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya,
di sini, semalam.
Fairuez berkata,
dia memaklumkan kejadian itu kepada abangnya selepas pulang ke rumah manakala
bapanya mengetahui kejadian itu selepas pulang dari tempat kerja jam 11 malam.
“Saya dibawa ayah
ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Katanya, akibat
kejadian itu, dia kini trauma untuk pergi ke surau atau masjid sendirian.
“Namun, jika
ditemani ahli keluarga atau ayah, saya akan pergi,” katanya. Katanya, dia sudah
membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, di sini, untuk siasatan dan
tindakan lanjut.
Sementara itu,
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur,
Asisten Komisioner Khairi Arasa
ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan