Tahniah diucapkan kepada pihak polis terutamanya dari IPD Rembau kerana berjaya menangkap 9 orang saspek kes pecah rumah. Tapi kita rasa sedih semua 9 saspek ini ialah pelajar sekolah semuda usia 14 tahun. Semoga pelajar ini insaf serta menjadi remaja yang beriman dan beramal soleh. Semoga keluarga pelajar yang terlibat tabah menghadapi dugaan ini.
Penjenayah bawah umur kantoi
14 September 2012 REMBAU – Masih di bangku sekolah, tetapi
sudah berani melakukan kegiatan pecah rumah.
Itulah yang dilakukan Geng Roben dianggotai sembilan pelajar
dari dua sekolah menengah di daerah ini yang akhirnya berjaya ditumpaskan
polis.
Kumpulan berkenaan diketuai pelajar sekolah berusia 14 tahun
sebelum ini dipercayai terbabit dalam 13 kes pecah rumah sejak Mei hingga Ogos
lalu.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom
berkata, polis percaya mereka sudah melakukan sekurang-kurangnya lapan kes
pecah rumah di Taman Sri Rembau dan lima
di Taman Rembau Utama, dekat sini.
Beliau berkata, susulan siri pecah rumah di kedua-dua taman
perumahan yang terletak bersebelahan itu, polis percaya ia dilakukan warga
tempatan, bagaimanapun agak mengejutkan apabila hasil siasatan mendapati ia
dilakukan penjenayah bawah umur.
Menurutnya, polis melakukan tangkapan pertama 5 September
lalu membabitkan pelajar berusia 14 tahun di kawasan sebuah sekolah di daerah
ini ketika waktu persekolahan.
"Penangkapan itu berjaya mengesan dan menangkap lapan
lagi anggota geng berkenaan yang juga pelajar sekolah," katanya.
Beliau berkata, modus operandi kumpulan berkenaan ialah
dengan menceroboh rumah menerusi tingkap naco yang batangnya sudah
dibengkokkan.
Katanya, sebahagian besar kes pecah rumah berkenaan
dilakukan pada waktu malam.
"Berikutan penahana itu, kita berjaya merampas satu
telefon bimbit jenis Nokia, selain tiga tali pinggang, sehelai baju-T jenis
Umbro, dua pasang kasut sukan jenis Nike dan Kronos, dua rantai leher,
masing-masing satu rantai leher silver dan cincin; topi keledar, dompet serta
wang tunai berjumlah RM3," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Rembau, di sini
semalam.
Mizan berkata, kesemua pelajar berkenaan disiasat di bawah
Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
"Tujuh daripada pelajar berkenaan telah dibacakan
pertuduhan kali pertama di mahkamah hari ini (semalam), sementara dua lagi
masih disiasat," katanya.

1 ulasan:
Sesuatu yang amat2 menyedihkan. Bagaimana anak2 yang belum mengenal dunia tetapi sudah terjebak dengan gejala jenayah.
Memalukan.
Tanda gagalnya sistem pendidikan (bukan pelajaran, tapi pendidikan) di negara kita.
Ini bukannya isu terpencil. Terlalu kerap berlaku kejadian jenayah dan maksiat oleh remaja bawah umur di negara MALAYSIA ini.
Semoga pihak kerajaan dan masyarakat memandang SERIUS perkara ini sebelum menjadi lebih parah.
Catat Ulasan