BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

20120313

USIM seindah namanya


USIM seindah namanya
Aduan Rakyat Online 13 Mac 2012

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kini mengorak langkah dan menongkah arus perdana dalam merealisasikan harapan dan wawasan kerajaan dalam melahirkan golongan ilmuan dan cendekiawan dalam pelbagai bidang. Saban tahun, mahasiswa yang menamatkan pengajian di semua lapisan peringkat meningkat.

Namun, apa yang menyebabkan saya dan kawan-kawan yang sedang dalam proses menamatkan pengajian dan sebahagian telah selesai memegang skroll ijazah telah terbuku satu persoalan. Iaitu,”di mana masjid”?

Kenyataan saya bukanlah mengambarkan yang kami tidak pernah ke masjid atau ke surau yang berdekatan. Tetapi, sebagai seorang mahasiswa yang bernaung di bawah gelaran ‘Islam’ pada nama institusi ini amatlah rasa terpanggil untuk meluahkan apa yang menjadi aspirasi semua pelajar USIM.

Kami boleh berbangga dan mendabik dada jika orang awam melawat USIM melihat bangunan Canselori atau bangunan Perpustakaan yang kosnya melibatkan RM1 juta lebih. Kami merasa gembira dengan kesenian pelbagai bentuk dan konsep fakulti di USIM. Kami juga berbahagia berdamping dengan ramai pensyarah dari pelbagai latar belakang, bangsa dan agama.

Namun, kami hanya tersenyum duka bila orang awam khususnya ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka belajar ke sini diajukan soalan di mana rumah Allah atau Baitullah.

Terasa kerdil diri dan terus mengecil hati sejenak memandang jauh ke arah masjid-masjid yang tersergam indah di perkarangan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sungguh mendamaikan suasana dan menenangkan jiwa dengan hanya memandang. Apatah lagi, menjejakkan kaki ke dalam dan bersolat sebagai seorang hamba yang mengharapkan keredhaan Penciptanya.

Bangunan Konvokesyen dan fasiliti-fasiliti yang rancak dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan amatlah didambakan mahasiswa. Justeru, mahasiswa sekurang-kurangnya dapat menghargai dan merasai pengalaman tinggal di universiti berbanding di kampung halaman masing-masing yang prasarana awamnya ketara bagai langit dengan bumi di sini.

Prasarana dan suasana universiti telah terbukti banyak melahirkan pemimpin-pemimpin negara. Universiti menjadi gedung pencungkil kemahiran insaniah dan membentuk peribadi mahasiswa minda kelas pertama.

Walaupun begitu, kekosongan aspek kerohanian amat perlu dititikberatkan.

Semua aktiviti-aktiviti Islam sebolehnya dilakukan di sebuah tempat yang bergelar masjid. Aktiviti-aktiviti Islam lebih mendapat barakahnya apabila sesuai tempatnya. Jika disingkap kisah Rasulullah, masjid menjadi tempat berkumpulnya para ilmuan Islam berbincang bab-bab ekonomi, sosial dan da’wah. Malahan, masjid dijadikan pusat perbincangan strategi perang terhadap lawan. Masjid bukanlah satu tempat yang hanya dikenali sebagai tempat solat semata-mata. Masjid sebenarnya berperanan lebih dari mencorakkan rutin masyarakat dan membina tamadun Islam itu sendiri.

Mahasiswa USIM amat berharap pihak pentadbir dan pengurusan USIM mengambil tahu akan aspirasi kami sebagai ‘penduduk’ USIM. Kami juga ingin melanjutkan harapan kepada pemimpin-pemimpin pelajar di USIM.

Kami mahu sebuah tempat khusus dibina untuk kami bersolat sujud syukur selepas memperolehi ijazah nanti. Besar harapan yang kami tadahkan, besar lagi rahmat Allah kepada penduduk bumi.

Andai kata susunan kata ini dapat membantu hasrat sebahagian besar mahasiswa USIM. Sesungguhnya gurisan indah bukanlah di dalam peta kehidupan, tetapi di dalam hati nurani yang kekal abadi. Iaitu iman~

John Connor USIM.

By: Afifuddin90

http://www.aduanrakyat.com.my/usim-seindah-namanya#more-11304


Tiada ulasan: