
CHEMBONG - Penduduk di sini, tidak puas hati terhadap tindakan pekerja yang bertanggungjawab mengutip sampah di Taman Sedia Raja apabila tidak mengambil sampah di beberapa rumah yang terdapat khemah walaupun tiba giliran kutipan sampah dilakukan di taman berkenaan.
Penduduk, Hanizam Zakaria, 34, berkata, tindakan pekerja terbabit menyebabkan beberapa penduduk di sini terpaksa berdepan dengan bau busuk dan persekitaran kotor kerana keengganan mereka mengutip sampah.
Menurutnya, keadaan itu berlaku apabila penduduk memasang khemah di depan rumah kerana mengadakan majlis.
“Walaupun lori sampah tidak boleh melalui kawasan terbabit tetapi pekerja boleh berjalan kaki untuk mengambil sampah yang diletakkan di tong sampah depan rumah penduduk.
“Seperti lorong ini, walaupun hanya tinggal khemah sahaja tetapi mereka hanya mengambil sampah di rumah yang tidak dipasang khemah sedangkan jaraknya begitu dekat, hanya beberapa meter sahaja,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Hanizam berkata, tindakan mereka amat dikesali kerana hanya sebahagian rumah di lorong berkenaan dilakukan kutipan menyebabkan beberapa rumah lain dipenuhi sampah dan bertimbun selepas mengadakan kenduri.
“Kini kami terpaksa menghidu bau busuk kerana kutipan sampah hanya dilakukan seminggu sekali.
“Sampah akan berulat dan mengundang kehadiran lalat di rumah penduduk yang mungkin boleh menjejaskan kesihatan,” katanya.
Menurutnya, pihak bertanggungjawab diharap lebih peka mengenai masalah itu, malah tidak mustahil kawasan perumahan lain berdepan masalah sama apabila memasang khemah.
“Tambahan pula pada musim perayaan ini banyak kenduri dan rumah terbuka.
“Jika perkara ini tidak diambil perhatian, sudah tentu penduduk terpaksa melalui perkara sama sehingga menimbulkan rasa kurang selesa kerana tidak tahan bau busuk,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story8228756.asp






