Sinar Harian 23 Dis 09
SEREMBAN – Kehilangan enjin jet pesawat bernilai RM50 juta membuktikan Kerajaan Pusat di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) gagal menjalankan tanggungjawab diamanahkan rakyat.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohd Taufek Abd Ghani berkata, kerajaan perlu bertindak segera mewujudkan Suruhanjaya Khas bagi menyiasat kehilangan enjin pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan mendedahkan hasil siasatan dalam tempoh dua bulan.

Menurutnya, keanggotaan suruhanjaya berkenaan perlulah bebas daripada mana-mana pihak dan berkecuali, terdiri daripada pakar undang-undang, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), wakil parti politik dan bekas Jeneral Tentera serta pegawai atasan yang pernah menjawat jawatan di bahagian berkenaan.
“Enjin jet berkenaan adalah aset negara dan membabitkan duit rakyat. Kehilangan itu menunjukkan tanggungjawab diamanahkan telah dipersia-siakan dan ini merupakan kegagalan BN.
“Rakyat perlu menilai keupayaan BN mentadbir negara khususnya membabitkan sistem pertahanan negara dan amanah,” katanya.
Mohd Taufek berkata, kehilangan jet pejuang adalah isu serius membabitkan sistem pertahanan negara yang boleh dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.
“Perkara ini bukan isu kecil kerana ia membabitkan pentadbiran dan pengurusan bahagian berkenaan serta pembabitan pihak luar sehingga dapat menjual enjin jet berkenaan.
:“Hasil siasatan perlu didedahkan kepada umum selewat-lewatnya dua bulan. Tempoh dua bulan amat sesuai untuk Suruhanjaya Khas mengumpul maklumat sebelum mendedahkan kepada umum serta mengheret mereka yang bertanggungjawab,” katanya mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang tidak berhasrat menutup kes kehilangan enjin pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6240470.asp