20091128

Program Ibadah Korban DUN Paroi 1430 H






Gambar di atas sekitar ibadah korban di Pusat Khidmat DUN Paroi pada Sabtu 28 November 2009.

20091110

Kakak derita di Lombok

Harian Metro 10 Nov 09

SEREMBAN: “Kakak menyuarakan hasrat pulang ke pangkuan keluarga kerana dia berdepan tekanan dengan keadaan kehidupan di Lombok selain memikirkan nasib dan masa depan anaknya.”

Begitu kata Normah Ghani, 23, yang juga adik kepada Normaliza ketika menceritakan keadaan dialami kakaknya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi, Mohamad Taufek Abdul Ghani, untuk mendapat bantuan.

Normaliza, 26, atau dipanggil mesra ahli keluarganya sebagai Angah dari Felda Palong 5 di Jempol, berada di Lombok, Indonesia hampir dua tahun lalu selepas mengikut teman lelakinya dan berkahwin di sana pada penghujung 2007.

Kini, dia yang mempunyai seorang anak berusia lima bulan menyatakan hasrat kembali ke negara ini dipercayai selepas menghadapi tekanan dengan keadaan kehidupan yang dilaluinya di sana.

Normah menyatakan hasrat kakaknya itu kepada Mohamad Taufek pada awal minggu lalu untuk mendapatkan bantuan dan kerjasama wakil rakyat berkenaan bagi membantu membawa kakaknya kembali ke negara ini dengan secepat mungkin.

Mohamad Taufek berkata, pihaknya sudah dihubungi ahli keluarga terbabit untuk meminta bantuan bagi membawa Normaliza pulang ke negara ini selepas dia mengikuti lelaki berkenaan ke Lombok pada hujung tahun lalu.

“Saya dimaklumkan oleh ahli keluarga berkenaan mengenai hasrat Normaliza yang kini mempunyai seorang anak berusia lima bulan untuk pulang ke negara ini dan menemui ahli keluarganya di Felda Palong 5 di Jempol.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20091110073104/Article/index_html

20091105

DOA DAN SOKONGAN PAKATAN RAKYAT REMBAU MENGIRINGI PERJUANGAN PASUKAN BOLASEPAK NS


DOA DAN SOKONGAN PAKATAN RAKYAT REMBAU MENGIRINGI PERJUANGAN PASUKAN BOLASEPAK NS

FAIZ ABDULLAH

PAROI, 5 Nov: Gabungan Pakatan Rakyat Rembau yang terdiri daripada PAS dan KeADILAn akan memberi sokongan padu kepada pasukan bolasepak Negeri Sembilan yang akan berjuang untuk membawa pulang Piala Malaysia setelah kemarau Piala Malaysia selama 61 tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi, Mohd Taufek Abdul Ghani dan Setiausaha KeADILan Cabang Rembau, Norazizi Aziz dalam sidang akhbar di perkarangan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi; telah mengumumkan komitmen PAS dan KeADILan Rembau dalam usaha memberi sokongan padu kepada pasukan Negeri Sembilan dengan mengerahkan seramai mungkin ahlinya untuk hadir di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada sabtu ini.

Perlawanan Akhir Piala Malaysia, Kelantan akan bertemu Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit jalil pada Sabtu, 07 November dan perlawanan akan bermula pada pukul 8.50 malam.

Kali terakhir Negeri Sembilan menjuarai Piala Malaysia adalah pada tahun 1948.Ketika itu ianya dikenali sebagai Piala Malaya.

Sehubungan itu Mohd Taufek dalam sidang akhbar sebentar tadi meminta seluruh rakyat Negeri Sembilan termasuk penyokong Pakatan Rakyat dapat hadir ramai-ramai ke Stadium Nasional, Bukit Jalil sabtu ini untuk memberi sokongan.

" Saya difahamkan setakat tengahari ini (Khamis), hanya 13 ribu tiket sahaja yang dapat dijual di Seremban, berbanding di Kota Bahru hampir kesemua 30 ribu tiket yang diperuntukkan kepada Kelantan telah habis dijual.Malah saya juga terserempak tadi dengan puluhan penyokong Kelantan yang menetap di Kuala Lumpur datang ke Seremban untuk mendapatkan tiket kerana bimbang tiket akan habis di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.

" Justeru itu saya meminta lebih ramai penyokong bolasepak Negeri Sembilan akan membeli tiket untuk menyemarakkan lagi perjuangan negeri beradat ini", kata Mohd Taufek.

Mohd Taufek juga memohon agar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyediakan khemah di kawasan tempat letak kereta di perkarangan Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk memudahkan penyokong beragama Islam sama ada dari Negeri Sembilan mahu pun dari Kelantan dapat menunaikan solat.

" Dalam keghairahan kita menyokong dan menonton aksi pasukan kesayangan kita, kita tidak harus lupa pada kewajipan bersolat.

" Memandangkan surau di Stadium Nasional, Bukit Jalil agak kecil sudah tentu ia tidak dapat menampung lebih 85 ribu penonton yang akan membanjiri stadium tersebut pada malam sabtu ini" ujar Mohd Taufek lagi.

Mohd Taufek turut mengumumkan bahawa PAS dan KeADILan Rembau menyediakan perkhidmatan bas percuma ke Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk penyokongnya, dimana setakat ini sebuah bas sudah penuh dan pihaknya akan menambah bilangan bas percuma kepada tiga bas bergantung pada sambutan penyokong setempat.

Sementara itu Norazizi pula mengingatkan agar penyokong Negeri Sembilan dan Kelantan dapat mengawal emosi ketika perlawanan berlangsung dan juga selepas perlawanan berakhir.

" Menang atau kalah, penyokong kedua-kedua pasukan harus mengawal emosi daripada bertindak ganas seperti mana yang berlaku ketika Negeri Sembilan bertemu Kelantan di Kota Bahru dalam saingan Separuh Akhir Piala FA sebelum ini.

" Insiden membaling mercun pada penyokong juga berlaku di Terengganu dan Kangar ketika saingan Separuh Akhir Piala Malaysia minggu lepas.Saya berharap insiden sedemikian tidak berulang kerana ia akan membahayakan penonton terutama golongan kanak-kanak dan wanita", ulas Norazizi.

Norazizi juga berharap pertemuan perlawanan akhir Piala Malaysia diantara Kelantan dan Negeri Sembilan dijadikan sebagai satu simbol kesatuan dan menyatupadu dua pihak penyokong dan rakyat dari negeri yang berlainan.

Mohd Taufek dan Norazizi bagi pihak penyokong Pakatan Rakyat Rembau mendoakan agar Negeri Sembilan akan menjuarai Piala Malaysia pada tahun ini.Mohd Taufek meramalkan keputusan akan berpihak kepada Negeri Sembilan dengan jaringan 2-1, sementara Norazizi meramalkan Negeri Sembilan akan menundukkan Kelantan dengan jaringan 2-0.

Mohd Taufek juga mengucapkan tahniah kepada seluruh pemain Negeri Sembilan termasuk jurulatih dan pegawai pasukan diatas kejayaan membawa skuad Negeri Sembilan ke perlawanan akhir Piala Malaysia.