20090625

Jadikan Manik Urai medan tautkan ukhuwah

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Hrkh) - Seluruh ahli dan kepimpinan PAS diseru agar menjadikan kempen pilihan raya kecil Dun Manik Urai sebagai 'medan' menguatkan semula tautan ukhuwwah sesama mereka.

Demikian seruan AJK PAS Pusat yang baharu, Mohd Taufek Abdul Ghani kepada Harakah ketika ditemui di pejabatnya di Paroi baru-baru ini.

"Saya mengharapkan agar seluruh ahli dan kepimpinan menjadikan Manik Urai sebagai medan untuk mentautkan kembalik ukhuwwah antara kita selepas pemilihan pada muktamar lalu," katanya.

Beliau melihat, apa yang berlaku di situ isu yang menyentuh perselisihan antara pimpinan mengenai kerajaan perpaduan hanyalah mainan media semata.

Media milik Umno/BN sengaja melaga-lagakan kepimpinan PAS dalam usaha mereka untuk memberikan persepsi salah kepada rakyat setelah PAS kini diterima Islam dan bukan Islam, ujar Taufek yang juga Adun Paroi (dalam Parlimen Rembau).

Sebagai saf kepimpinan yang muda yang dibawa ke jawatankuasa pusat, beliau melihat apa yang berlaku adalah satu lagi pengalaman berharga untuk mematangkan PAS.

Menyentuh mengenai kempen di Manik Urai, PAS Negeri Sembilan ujarnya telahpun menghantar petugasnya sejak 16 Jun untuk berkempen di UPU Sungai Sok.

Kempen kali ini katanya tertumpu kepada kepakaran dalam perubatan tradisional yang telahpun dibuat dan berkesan pada PRK Bukit Gantang lalu.

Beliau menaruh keyakinan bahawa PAS akan dapat mempertahankan kejayaan lalu di Manik Urai dengan calon yang sangat wibawa. - mks._

http://harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=21409&Itemid=1

20090623

Ketelusan lantik JKKK

Harakahdaily 23 Jun 20009

PAROI, 23 Jun (Hrkh) - Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi, Mohd Taufek Abd Ghani membidas Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Mohammad Hassan dalam isu perlantikan Ahli Jawatankuasa Kebajikan Kebajikan Kampung (JKKK) baru-baru ini.

Merujuk kepada pendedahan Ketua Bahagian Umno Seremban, Dato' Ishak Ismail di dalam Utusan Malaysia bertarikh 16 Jun, yang mendedahkan bahawa ada di kalangan Ahli JKKK yang dilantik mempunyai latar belakang kes jenayah, rasuah dan bankrap.

Menurut Mohd Taufek, adalah sedia maklum Ahli JKKK sebelum ini telah tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember 2008 dan lantikan baru hanya berkuatkuasa pada 1 Mei 2009.

"Pelantikan semula Ahli JKKK yang baru telah tertangguh selama empat bulan kononnya atas alasan Ahli JKKK perlu melalui proses penapisan ketat.

"Sungguh pelik selepas empat bulan proses penapisan ketat, mereka yang tidak layak dilantik sebagai Ahli JKKK," bidas Mohd Taufek.

Mohd Taufek berkata kenyataan Mohd Hasan sebelum ini bahawa pelantikan ini akan dijalankan dengan telus hanyalah sekadar kenyataan retorik semata-mata.

"Jika dakwaan Ishak ini benar, seharusnya Mohd Hasan perlu menukar Ahli JKKK yang terbabit dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Bagaimana Ahli JKKK yang mempunyai kes ini mampu memimpin rakyat jika mereka sendiri bermasalah?" tegas Mohd Taufek lagi. - azm _

http://harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=021378&Itemid=98

20090616

Khidmat Kesihatan, Anugerah Pelajar Cemerlang dan Pertandingan Mewarna





Pada 14hb Jun 2009 yang lalu, bertempat di Taman Marida dengan kerjasama NGO dan Dewan Muslimar PAS Kawasan Rembau, pihak Pusat Khidmat DUN Paroi telah berjaya menganjurkan Khidmat Kesihatan Percuma dimana pengunjung-pengunjung boleh memeriksa tahap kesihatan mereka terutama tekanan darah, kandungan gula dalam darah dan BMI. Bagi anak-anak pula diadakan pertandingan mewarna khusus untuk pelajar-pelajar pra-sekolah. Kami turut berkesempatan membuat majlis anugerah pelajar cemerlang kepada 7 orang pelajar cemerlang di sekitar DUN Paroi bagi pelajar-pelajar UPSR dan PMR. Semoga usaha yang sedikit ini dapat memberi manafaat kepada anda semua.

Persatuan Seni Silat Anugerah Selempang Merah


Kawasan lapang di sebelah Pusat Khidmat DUN Paroi telah dijadikan gelanggang untuk latihan seni silat selama hampir 5 bulan. Baru-baru ini persatuan seni silat tersebut telah mengadakan Sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun persatuan ini bertapak di N.Sembilan. Saya sangat menyokong usaha-usaha ini seperti ini supaya generasi muda dapat dididik dengan perkara-perkara berfaedah seperti seni mempertahankan diri ini. Selempang Khas ini telah dianugerahkan oleh Ybhg Paduka Ayahanda Guru Persatuan Seni Silat ini. Menurut Ybhg Paduka Ayahanda , seni silat ini berasal dari Kedah dan telah begitu terkenal di pondok-pondok di Kedah. Buah-buah silat ini mengikut Ybhg Paduka Ayahanda adalah berasaskan gerakan-gerakan dalam solat. Sesiapa yang berminat untuk belajar, bolehlah rujuk kepada gelanggang silat di Pusat Khidmat DUN Paroi.

20090615

Pejabat DUN Paroi...HUB Produk Halal


Lagi produk halal yang ingin saya promosi untuk anda semua. Minggu lepas , saya sempat berkunjung ke kilang memproses makanan sejukbeku yang dijalankan di Taman Bukti oleh seorang pengusaha yang juga seorang ustaz berasal dari Kelantan. Pelbagai produk sejukbeku seperti roti bom, roti canai, murtabak daging kambing, murtabak daging ayam / daging lembu , risolle (makanan itali), samosa dan pelbagai produk sejukbeku yang lain. Saya telah mencuba sebahagian dari produk tersebut dan ternyata rasanya hebat dan pasti mahu lagi setelah dicuba. Sesiapa yang berminat Ybhg Uts Muhammad 019-3788517.

Program Khusus Untuk Rombongan DUN Paroi




Sepanjang lawatan ke Kelantan, rombongan telah dibawa ke beberapa tempat menarik. Antara tempat yang terbaik adalah sebuah kilang roti yang diusahakan oleh ibu-ibu tunggal di DUN Pulai Chondong, Kelantan. Mereka melihat sendiri bagaimana ibu-iu tunggal ini berupaya berdikari dalam membina kehidupan mereka tanpa selama-lamanya bergantung kepada pihak-pihak yang menghulurkan sumbangan. Semoga ada pengalaman dan pengetahuan beru yang mereka pelajari semasa di sana.

Membantu Pengusaha Produk Berkhasiat


Madu Lebah merupakan suatu makanan berkhasiat yang disebut dalam Al-Quran dan sering disebut menjadi makanan sunnah Nabi SAW. Saya didatangi teman lama yang dulu sama bekerja di kilang dulu, kini beliau mengusahakan pengeluaran pelbagai jenis produk madu. Antaranya :-
a) Madu Susu Lebah - warna putih dijual dengan harga RM18
b) Madu Biasa (Neron) - warna coklat cerah dengan harga RM10
b) Madu Tualang - warna coklat gelap dengan harga RM15
Semuanya, boleh didapati di Pusat Khidmat DUN Paroi. Bersama kita amalkan pemakanan madu , yang sering menjadi ubat yang berkesan untuk penyakit lelah, batuk selsema yang serius dan pelbagai penyakit yang lain.

20090613

Sidang Akhbar Pendedahan Sumbangan Kepada SPRM N.Sembilan


Pada 12hb Jun 2009 jam 10:15 pagi, saya dijemput oleh Chegu Bard , MPT PKR untuk menghadiri sidang akhbar pendedahan Chegu Bard tentang bagaimana Kelab Sukan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) cawangan N.Sembilan boleh menerima sumbangan untuk menjayakan aktiviti mereka dari pihak yang ada kepentingan dengan mereka. Adalah sesuatu yang boleh menjejaskan kredibiliti SPRM apabila mereka menerima sumbangan dari pihak yang ada kaitan dengan usaha mereka mencegah rasuah. Bagaimana pihak yang menerima sumbangan ingin mengambil tindakan jika terdapat tuduhan terhadap pihak yang ada memberi sumbangan kepada mereka? Sudah pasti ada "conflict of interest" sepertimana kata Chegu Bard dalam sidang akhbar tersebut. Isu seperti ini lebih serius dari isu 40 ekor lembu yang disumbangkan Tan Sri Khalid kepada masjid-masjid di Bandar Baru Cheras. Kita harap pihak yang berkenaan mengambil serius terhadap pendedahan ini. Jangan bila ianya melibatkan pihak lain dari Pakatan Rakyat, SPRM kelihatan seperti budak baru belajar merangkak. Kepada SPRM, sendiri mau ingat!! Rakyat masih ingat kes rasuah yang masih dalam perbicaraan yang melibatkan pimpinan UMNO dan ADUN Barisan Nasional. Semoga kes ini cepat selesai supaya rakyat dapat yakin dengan pimpinan mereka yang ada.

Pejabat DUN Dikunjungi Ketua Pemuda PAS Sabah & YDP Keningau


Sempena muktamar yang lalu, rombongan perwakilan dari negeri Sabah sempat singgah di pejabat DUN Paroi sebelum berlepas pulang ke Negeri DiBawah Bayu. Antara yang hadir adalah Ketua Pemuda PAS Sabah , Sdra Lahirul , YDP PAS Kawasan Keningau yang juga mantan Ketua Dewan Pemuda PAS N.Sembilan , Sdra Hishammudin Sulaiman dan seorang perwakilan dari PAS Keningau. Ternyata kehadiran mereka memberi semangat kepada kita. PAS Sabah menghadapi cabaran yang bukan sedikit, mungkin apa yang mereka hadapi hari ini adalah apa yang kita hadapi sepuluh tahun yang lalu. Sesuatu yang menarik tentang mantan Ketua Pemuda PAS N.Sembilan adalah bagaimana mereka yang telah ditarbiyah dan ikhlas dalam perjuangan akan tetap bersama perjuangan ini walaupun dimana mereka berada, bak kata pepatah "Kalau dicampak ke laut menjadi pulau , kalau dicampak ke darat menjadi bukit". Doa saya semoga perjuangan sahabat-sahabat di Sabah akan terus berjaya dan diberi kekuatan oleh Allah SWT.

20090611

Muktamar.....medan bertemu sahabat lama



Setiap kali muktamar, pastinya akan ketemu dengan teman-teman yang lama. Ada antaranya sudah mencecah puluhan tahun tidak bertemu, terasa muktamar yang berlalu begitu manis dan sukar untuk dilupakan. Ketika muktamar yang ke 54 di Ipoh, Perak , Allah telah mengizinkan untuk bertemu Akhi Jamal Abdul Naser bin Mohamad Hasan yang telah terpisah sejak tamat belajar dari UKM pada tahun 1991 yang lalu. Kini , dalam sesi muktamar yang baru berlalu, terasa nikmatnya dapat bertemu dengan Sdra Asri Mat Lazim yang telah terpisah sejak beliau berhenti kerja dari Samsung sekitar tahun 2003 dan balik bekerja di Pahang. Begitu jua dengan Sdra Mohd Ashraf Syarif , sahabat lama ketika belajar di UKM dan kini diamanahkan sebagai Setiausaha PAS Kawasan Tangga Batu , Melaka. Ketika di UKM , sama-sama mengikuti usrah bersama Naqib , Ybhg Ustaz Idris Ahmad yang kini adalah Ketua Penerangan PAS Pusat. Semuanya terlalu indah untuk dilupakan dan kekal sehingga kini dalam lipatan kenangan perjuangan Islam yang sama-sama kami lalui. Satu sahaja harapan kami, mudah-mudahan kami dipertemukan lagi dalam kemuncak pertemuan iaitulah di dalam syurga Allah SWT.

Usul PPSMI...Lambang Perjuangan PAS Untuk Rakyat


Usul PPSMI ini telah dibentangkan oleh PAS Kawasan Rembau dalam Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-55 baru-baru ini. Walaupun ada pihak yang menyatakan usul ini tidak perlu dibahaskan dalam muktamar kerana ada usul lain yang lebih penting tetapi bagi kami , PAS selaku Parti yang insya'Allah akan menggantikan UMNO sewajarnya menggunakan platform muktamar untuk memperjuangkan nasib dan masa depan rakyat. Tidak bijak sekiranya muktamar sekadar bincang isu dalaman parti. PPSMI sehingga tahun 2009 telah memperjudikan nasib 3.5 juta pelajar sekolah rendah (tidak termasuk pelajar sekolah menengah) dimana pelajar-pelajar ini mengikut kajian bukan sahaja tidak dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan baik bahkan mereka gagal menguasai matapelajaran teras iaitu Sains dan Matematik dengan baik. Mengikut kajian juga , penguasaan Bahasa Melayu turut terjejas kerana terpengaruh dengan bahasa rojak (BI dicampur BM) yang mana digunakan oleh sebahagian guru-guru yang GAGAL menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya dalam PPSMI. Untuk lebih memahami isu ini, bolehlah mengikuti perbahasan usul PPSMI melalui rakaman youtube di laman web http://rembau-hari-ini.blogspot.com/

20090610

Lawatan Ke Kelantan


Pada 9hb Jun 2009, satu rombongan ke Kelantan telah dianjurkan oleh Pusat Khidmat DUN Paroi dan Dewan Muslimat Kawasan Rembau. Sebahagian besar peserta rombongan tersebut adalah para ibu tunggal dari perumahan sekitar Taman Kobena. Antara matlamat lawatan adalah untuk melihat dan mempelajari usaha-usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Kelantan bagi membantu ibu tunggal di Kelantan. Antara penyumbang untuk menaja kos program ini adalah Dewan Muslimat PAS Kawasan Rembau, individu-individu penyokong PAS dan seorang ushawan yang telah menyumbang sebahagian besar kos program tersebut.

20090607

Khidmat Kesihatan Percuma 14 Jun 09 Senawang

Program KKP (Khidmat Kesihatan Percuma) yang seterusnya akan diadakan seperti berikut;

Tarikh: 14 Jun 2009 (Ahad)
Tempat: Pasti AMAL, Taman Marida , Senawang
Masa: 9.00 pagi - 1.00 petang

Aktiviti:
1. KKP
2. Jualan Amal
3. Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang
4. Peraduan Mewarna Kanak-Kanak PASTI/Tadika
5. Rawatan Bekam dan Refleksologi
6. Jualan Produk HPA/Muslim/Bumiputera

Maklumat lanjut di http://nurmutiara.blogspot.com/2009/06/kkp-datang-lagi.html