20090530

Usul PAS Kawasan Rembau DITERIMA

AlhamduliLlah, merujuk kepada Harakah keluaran 29hb Mei 2009, Ketua Penerangan PAS Pusat selaku Pengerusi Jawatankuasa Usul menyatakan bahawa JK usul telah menerima usul PAS Kawasan Rembau dari 36 usul yang diterima dari seluruh negara. Usul PPSMI ini akan dibahaskan dalam Muktamar PAS Pusat yang berlangsung pada 5hb Jun hingga 7hb Jun 2009 di Stadium Malawati Shah Alam. Selaku YDP Kawasan Rembau, saya merasa ini satu kejayaan bagi PAS Kawasan Rembau yang dapat memahami apakah isu penting yang bersangkut kepentingan rakyat yang perlu PAS bahaskan dalam muktamar yang penting ini. Tahniah pada semua AJK PAS Kawasan, inilah keberkatannya apabila kita sering bermusyawarah dalam apa jua isu termasuk dalam isu persediaan muktamar PAS Kawasan yang lalu. Tindakan selepas ini adalah untuk membuat persediaan perbahasan seperti saranan YB Dato' Mahfuz Omar. Sesiapa yang ada maklumat dan data tentang PPSMI termasuk keputusan kajian, kos yang ditanggung kerajaan akibat perlaksanaan PPSMI, keputusan peperiksaan sebenar UPSR dan lain-lain, bolehlah salurkan kepada kami melalui emel mdtaufek@yahoo.com.

Sekitar Pilihanraya Kecil PENANTI 2



Pada malam ke 2 di Penanti, berkesempatan bertemu dengan Pesuruhjaya PAS N.Sembilan yang telah sampai lebih awal di Penanti. Malam itu saya ada program santai bersama ahli-ahli PAS Tanah Liat, bicara politik sambil bakar ayam dan ikan. Turut dihidang agak istimewa juga iaitulah belangkas bakar. Program malam itu khusus untuk pengundi-pengundi di Tanah Liat, ramai jugak yang turun. Antara tetamu malam itu termasuklah calon sendiri. Ybhg Dr Mansor Othman, YB Saifudin Nasution dan YB Ust Mohd Nasir Zakaria,Ahli Parlimen Padang Terap. Majlis yang santai malam itu dihangatkan dengan ucapan-ucapan dari pimpinan yang hadir. Penekanan saya malam itu adalah supaya semua penyokong dapat turun beramai-ramai pada hari pengundian iaitu 31hb Mei 2009 supaya isyarat jelas tentang penolakan BN oleh rakyat dapat disampaikan kepada DS Najib oleh rakyat Penanti dengan peningkatan undi majoriti pada pilihanraya kali ini. Terima kasih Ustaz Rizal Mohd Akhil yang sudi menjemput saya dalam program tersebut.

Sekitar Pilihanraya Kecil PENANTI


Saya berkesempatan untuk bersama-sama teman-teman yang lain turun ke Penanti bagi membantu gerakerja Pilihanraya di sana. Memang terasa perbezaan apabila UMNO dan BN bertindak seperti "pahlawan kertas", mengaku hebat tapi tewas sebelum berjuang, mati sebelum melangkah ke gelanggang. Walaubagaimanapun, kami tetap bersemangat melaksanakan tanggungjawab, kerana peluang pilihanraya seperti ini adalah medan terbaik untuk menyampaikan maklumat supaya rakyat terus berani melakukan perubahan. Saya, Lutfi dan Shahrizal , aktivis Unit Amal dan Exco Pemuda Rembau disambut oleh Chegu Bard, ahli MPT dan Ketua Bahagian PKR Rembau di Kg Guar Perahu untuk program Bengkel Motor dan Kempen Pemanduan Berhemat bagi anak-anak muda bermotor di Penanti. Turut hadir adalah Sdra Yasir Said , Juara Cup Prix Asia dan YB Ust Firdaus Jaafar , Ahli Parlimen Jerai. Kehadiran hampir 300 anak muda membuktikan anak muda seluruh negara tetap mahukan perubahan kepada kepimpinan negara dan tetap setia bersama Pakatan Rakyat. Gambar adalah ehsan dari Sinar Harian edisi Utara.

20090527

Melawat SRIBU


SRIBU atau Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum adalah sekolah dibawah kelolaan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang.Dengan tenaga pengajar seramai 18 orang dan pelajar seramai hampir 250 orang, SRIBU kini menjadi kebanggaan perjuangan Islam di Pulau Pinang. Saya dan teman-teman sempat meluangkan masa melawat SRIBU ini dalam kemeriahan kempen PRK N12 Penanti. Mudir sekolah adalah Ustaz Mohd Husni bin Mat Piah, Ketua DPP Pulau Pinang yang baru. Tahniah kepada seluruh warga SRIBU, cabaran kepada DPP N.Sembilan. Langkah awal telah bermula dengan bermulanya SRI di Ad-Dirasah. Teruskan usaha, saya bersama anda untuk memajukan SRI yang berada di bawah DPPNS.

20090525

Renggo Vokalis ARROW bersama PAS


Baru-baru sewaktu menghadiri Sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulama' di Taman Melewar, berkesempatan menemui Sdra Renggo (berjaket coklat). ARROW adalah kumpulan rock yang dianggotai oleh Sdra Renggo yang telah tidak aktif lagi setelah Renggo berhijrah bersama muzik alternatif Islam. Beliau hadir ke Taman Melewar bagi bersama-sama untuk membuat promosi album baru Renggo dengan lagu yang dijangka "hits" adalah yang bertajuk "Pesan Tuan Guru". Semoga Allah memudahkan urusan kita semua dan menjaga akhlak kita sebaik mungkin. Dikhabarkan peminat lagu-lagu nasyid menunggu-nunggu kelahiran Album Baru ini, jangan lupa beli....

Bapa Mertua Dato' Mukhriz Tun Dr Mahathir Meninggal



Pada hari Ahad yang lalu , saya berkesempatan menziarahi Allahyarham Hj Zakaria Jundai yang juga merupakan besan kepada Ybhg Tun Dr Mahathir. Allahyarham tinggal di Taman Sri Siantan berhampiran Taman Guru. Saya berkesempatan menyambut ketibaan Ybhg Tun Dr Mahathir yang hadir bersama isteri beliau Ybhg Tun Dr Siti Hasmah. Beliau yang kelihatan masih sihat sempat menasihati saya dan beberapa tetamu yang lain supaya menjaga kesihatan , "Kurangkan minum dan makan sesuatu yang manis kalau nak badan sihat", kata Tun. Sepanjang hampir 4 jam saya di Taman Sri Siantan, tidak kelihatan seorang pun pemimpin UMNO tertinggi N.Sembilan yang hadir. Begitulah nasib Tun, antara pemimpin UMNO yang disanjung ketika berkuasa, kini tidak lagi diraikan oleh pemimpin UMNO yang lain. Saya, Ust Khairil Anuar Wafa (Ketua Pemuda PAS N.Sembilan yang baru) , Sdra Hasan Tambi, Naib YDP PAS Kawasan Rembau, Hj Faisol (AJK PAS Kawasan) dan Sdra Nazri Zainal (AJK PAS Kawasan) telah bersama-sama hadir menzairahi dan mengadakan majlis tahlil untuk arwah. Semoga rohnya dicucuri rahmat hendaknya.

SOKONGAN MORAL UNTUK DATO NIZAR



Pada Jumaat 22 Mei 2009, saya bersama-sama teman Faiz Abdullah dan Lutfi telah pergi ke Istana Keadilan, Putrajaya untuk sama-sama memberi sokongan moral kepada Menteri Besar Perak yang sah, Datuk Nizar Jamaluddin yang telah menfailkan kes di mahkamah rayuan baru-baru ini.

Kami sampai disana lebih kurang pukul 3.00 petang.Suasana di lobi mahkamah agak berdebar-debar kerana menanti keputusan mahkamah.Walaupun saya menjangka bahawa keputusan akan memihak kepada Zambry tetapi jauh disudut hati, saya tetap mendoakan agar keajaiban akan berlaku pada petang itu.

Bila saya kata keputusan akan memihak kepada Zambry bukan bermakna saya setuju dengan hujah-hujah peguam Zambry, tetapi seperti slogan Malaysia Boleh.....Di Malaysia...Di Mahkamah Malaysia....Semuanya Boleh...Walaupun perkara itu agak mustahil dari sudut logik.

Sebab kedua saya berkata bahawa saya menduga Zambry akan menang adalah kerana ketika dari perjalanan dari Seremban ke Putrajaya, Faiz menghulurkan akhbar The Sun yang mengandungi hujah-hujah peguam Zambry dan Dato Nizar berkaitan kes ini. Selepas sahaja saya habis membaca hujah-hujah peguam kedua belah pihak di akhbar The Sun, saya terus berkata kepada Faiz bahawa petang ini Zambry akan menang.

Kenapa saya berkata demikian? Kerana dari pengamatan saya pada laporan akhbar tersebut, saya boleh menduga Zambry yang akan menang.Didalam akhbar itu hujah-hujah peguam Zambry berjela-jela panjangnya.Hujah peguam Dato Nizar cuma sejengkal sahaja.Itupun dipenghujung sambungan berita itu di mukasurat kedua.

Suasana di lobi mahkamah dipenuhi dengan penyokong Pakatan Rakyat dan wartawan serta jurukamera dari media didalam negara dan luar negara. Kalau ada pun penyokong BN hanyalah beberapa kerat Exco BN kerajaan Perak.

Saya juga sempat berjumpa, bertanya khabar berita dan bergambar dengan beberapa tokoh politik tanahiar.Antaranya Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefy Ahmad, Naib Presiden PAS, Hj Mohamad Sabu, Exco Kerajaan Pakatan Rakyat Perak, A.Sivanesan dan Tai Sing Ng serta Ketua Angkatan Muda KeADILan, Samsul Iskandar Akin.

Ketika menunggu keputusan mahkamah saya, Faiz dan Lutfi minum seketika di kafeteria mahkamah.Lebih kurang 3.40 petang, Faiz memaklumkan beliau menerima SMS dari MalaysiaKini bahawa Zambry telah menang dalam kes beliau dan kekal sebagai Menteri Besar Perak.

Suasana di lobi mahkamah sejurus keputusan diketahui, amat gamat.Ketika peguam-peguam Dato Nizar menghampiri kumpulan wartawan, terdengar sorakan dan jeritan seperti "Bubar DUN", "Kalau Berani Bubar DUN", "Nizar...Nizar...Nizar", "Reformasi", "Makkal Sakti" dan Takbir " Allahu Akhbar".

20090522

SERAH TUGAS KEPADA KETUA PEMUDA BARU



PAROI - Hari ini saya sebagai Bekas Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan yelah menyerahkan tugas secara simbolik kepada Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan yang baru iaitu Khairil Anuar Wafa. Saya tidak bertanding di dalam Muktamar Pemuda Negeri Sembilan baru-baru ini kerana telah melepasi had umur, berharap agar Khairil Anuar dapat meneruskan kesinambungan bersama kepimpinan yang baru.
" Saya berharap kabinet baru ini bekerja untuk Islam dan rakyat Negeri Sembilan.
" Saya juga bersedia untuk bertukar-tukar pendapat dengan kepimpinan baru pemuda dan
memberi pandangan juka perlu".

Sementara itu Khairil Anuar berkata beliau akan berusaha untuk kekalkan prestasi Pemuda PAS NS yang dibawa oleh YB Mohd Taufek sebelum ini selama YB Mohd Taufek menerajui Pemuda PAS NS. Khairil Anuar juga menegaskan antara perancangan beliau dan Pemuda PAS NS selepas ini, adalah dengan memstikan lebih banyak langkah-langkah akan di ambil agar PAS dapat menguasai lebih banyak kawasan di Pilihanraya Umum akan datang.
" Kami akan tingkatkan usaha untuk menawan lebih banyak kerusi di Pilihanraya Umum ke-13 nanti.
" Malah kami juga akan mendekati lebih banyak golongan muda termasuk golongan bukan Melayu/Islam dalam memantapkan perjuangan parti", ulas Khairil Anuar lagi.
Selain dari Khairil Anuar selaku Ketua Pemuda PAS NS, kepimpinan Pemuda PAS Negeri Sembilan yang baru adalah terdiri daripada Mohd Suffian Ibrahim sebagai Timbalan Ketua Pemuda dan Mohd Fuad Othman sebagai Naib Ketua Pemuda.

MPS GAGAL MENYELENGGARA KAWASAN INDUSTRI












BANDAR SEREMBAN SELATAN - Hari ini, saya bersama-sama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Senawang, YB P.Gunasekaran 'turun padang' ke Kawasan Perindustrian Ringan, Bandar Seremban Selatan hari ini untuk meninjau masalah yang dihadapi oleh pengusaha perniagaan di sini.

Tinjauan saya bersama YB Guna yang juga merupakan Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, bersama-sama dengan sekumpulan wartawan mendapati keadaan persekitaran di kawasan perindustrian ringan ini amat mendukacitakan.

Bandar Seremban Selatan terletak di dalam DUN Paroi dan bersempadan dengan DUN Senawang.

Keadaan jalan yang berlubang disana sini, sampah yang tidak dipungut dan masalah longkang tersumbat amat merumitkan pengusaha dan pelanggan yang datang ke kawasan ini untuk perkhidmatan penyelengaraan kenderaan dan sebagainya.

Kemudahan infrastruktrur yang teruk ini mengakibatkan hanya 30 peratus premis yang beroperasi daripada keseluruhan 300 premis perniagaan yang terdapat di sini.

" Tuan punya premis perniagaan di sini membayar cukai taksiran kepada Majlis Perbandaran Seremban (MPS) seperti yang ditetapkan tetapi kenapa urusan pengambilan sampah, longkang tersumbat dan jalan berlubang tidak diambil tindakan sewajarnya?"

" Ini tidak adil kepada rakyat dan peniaga di sini yang membayar cukai taksiran".

Sementara itu YB Guna membidas sikap MPS yang masih tidak mengambil tindakan terhadap masalah jalan berlubang dan sampah sarap yang tidak di pungut walaupun beliau pernah melaporkan masalah ini kepada MPS sejak setahun yang lalu.

" Justeru itu saya memohon YDP MPS, Dato Halim agar 'turun padang' dan sama-sama melihat masalah yang di hadapi oleh peniaga di sini.

" Saya juga dukacita dengan sikap MPS yang amat lewat dalam usaha untuk mengambil sebarang tindakan demi kepentingan rakyat", ujar YB Guna lagi.

Seorang peniaga, S.Subramanian mendedahkan bagaimana jalan yang berlubang yang dalamnya setinggi paras lutut lelaki dewasa terpaksa ditimbus dengan batu-bata demi keselamatan peniaga, pekerja dan pelanggan di kawasan tersebut.

Beliau turut mengutarakan masalah nyamuk kerana longkang yang tersumbat mengakibatkan air bertakung dan ini menjadi sarang nyamuk.

" Saya berharap MPS mengambil tindakan dengan segera dalam menyelesaikan masalah infrastruktur dan persikataran di sini", kata Subramaniam.

20090519

Pandangan Penuh Hikmah YDP PAS Besut


Muktamar Agung Tahunan PAS 2009 yang akan berlangsung pada 4-7 Jun ini, kini mengundang pelbagai spekulasi. Dari aspek keupayaan pelaksana, kelicinan teknikal, keselesaaan perwakilan, pemerhati dan media sehinggalah kepada soal gagasan yang akan menunjangi pergerakan parti untuk sepenggal akan datang. Tidak kurang juga yang memberi fokus khusus terhadap kepimpinan yang akan menerajui parti Islam yang menjadi antara model kepada gerakan Islam masakini.
Selangor sudah pasti akan memberi khidmat yang terbaik kepada lautan mukmin yang akan menjadi tetamu kepada mereka. Rezki ini tidak mungkin akan disia-siakan. Kesungguhan meraikan tetamu akan menjadi lorongan kemuliaan sohibul bait di sisi Allah 'Azzawajalla. Apa lagi yang diraikan itu adalah para pemilih yang mewakili organisasinya untuk memilih teraju pimpinan utama parti.
Trend pemilihan perwakilan dalam PAS alhamdulillah tidak sepertimana kocakan gelombang pemilihan perwakilan dalam UMNO. Mereka terpaksa turun berhabis-habisan untuk mendapatkan satu dari kerusi tersebut. Bahkan ada yang terpaksa menjahanamkan RM, maruah dan harga diri semata-mata untuk meraih pulangan yang lebih lumayan menjelang pemilihan di peringkat yang lebih atas. Belum pun sampai ke mana, aib teman-teman dilondehkan, skandal terpapar di sana sini, dedahan fitnah bermaharajalela, temprecher blog mendidih bagaikan si ibu merebus batu semata-mata berdalih menahan lapar anak-anak di zaman Umar r.a. Semuanya bagaikan suatu permainan yang penghujungnya adalah dunia. Luahkanlah rasa syukur kita lantaran Allah masih memelihara kita dari sifat-sifat mazmumah yang boleh mendorong kepada perlakuan sumbang seumpama mereka.
Benar. Perwakilan membawa amanah berat. Pembentukan kepimpinan parti Islam ini kini sebahagiannya berada di genggaman mereka. Kabinet Taqwa pimpinan Dato' Seri Presiden mesti mampu membayangi keupayaan sebuah Gerakan Islam. Menunjanginya adalah ISO yang perlu memenuhi piawaian dan kerangka sebuah Jamaah Islam untuk dilihat sebagai model kepada yang lain dengan penetapan KPI yang selaras dengan ciri dan sifat sebuah organisasi Islam.
Tidak berbangkit soal siapa jika ianya dari rumpun yang bertaqwa. Allah melebihkan kita sesama kita dengan taqwa. Taqwa yang sukar dipertahankan di saat kita menghadapi keadaan yang bercelaru. Lantaran, Allah mengajar kita tentang kehidupan. Tentang kawan dan tentang lawan. Musuh yang sudah sedia ada perlu di hadap dengan wajah yang ceria tapi penuh persiapan dan siapsiaga. Di sanalah kelibat rijalud Dakwah harus muncul untuk menjadi duta penyelamat dan kasih sayang.
Meraikan kepimpinan yang boleh melastari situasi yang kondusif lebih baik dari membawa pulang seorang tokoh tetapi bisa memecahkan kesepaduan anggota yang sedia damai. PAS akan terus dijaga oleh anggota dan pimpinan yang ikhlas semata-mata kerana Allah sepertimana Allah menyingkirkan mereka yang tidak jujur dan khianat dari lingkungan keaslian perjuangan Islam.
Awaslah mereka yang khianat. Yang cuba melingkungi dan mengepung perjalanan Qiadah. Jundiyyah yang soleh akan terkesan di saat ombak membadai tepian pantai dan di saat pengapungan bahtera yang cuba dikaramkan oleh tangan-tangan yang mula berlumuran dengan dosa... (dipetik dari Blog Ustaz Wan Azhar)

20090518

TAWARAN BELAJAR PERCUMA DAN PELUANG PEKERJAAN TERJAMIN

Dalam usaha membantu golongan Bumiputera Melayu, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Paroi dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan dan swasta membuka peluang kepada mana-mana individu yang berminat untuk melanjutkan pelajaran dan mencari peluang pekerjaan.

Terdapat 4 sasaran kumpulan yang boleh menyertai program ini:

1.Lepasan SPM
2.Lepasan Kolej/Universiti
3.Mereka yang telah diberhentikan kerja
4.Golongan Ibu Tunggal

Tiada sebarang yuran atau kos dikenakan untuk mereka yang berminat untuk belajar.Sejurus tamat kursus yang akan dikendalikan diantara enam bulan sehingga setahun, para peserta dijanji dan dijamin pekerjaan.

Dalam tempoh kursus para peserta akan mendapat elaun bulanan.Elaun bulanan adalah serendah RM210.00 dan setinggi RM500.00 sebulan.

Walaubagaimanapun untuk golongan yang telah diberhentikan kerja Elaun bulanan adalah RM500.00 sebulan.Jika ada diantara yang telah diberhentikan kerja ini telah berkeluarga dan mempunyai sekurang-kurangnya dua orang anak, Elaun bulanan adalah RM800.00.

Antara kursus yang ditawarkan adalah Perhotelan, Automobil, Elektrik, Mekanik, Jahitan, Masakan, Pelukis Pelan, Seni Taman (Landscape), Komputer, Pentadbiran dan lain-lain kursus popular masa kini.

Pusat kursus adalah di Seremban dan Port Dickson.

Mereka yang berminat di minta hubungi perantara program ini iaitu Encik Faiz Bin Abdullah ditalian 016 - 232 5689.

Tarikh tutup pendaftaran program ini adalah pada 12 Jun 2009.

Lawatan Takziah Di Senawang




Tengahari tadi saya bersama-sama dengan seorang teman, Faiz Abdullah telah melawat keluarga salah seorang pengundi DUN Paroi di Taman Marida, Senawang.

Mendiang S.Sretharen, 27, seorang anggota tentera di Batalion Pertama Rejimen Sempadan, Tanah Merah, Kelantan telah meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya pada 16 Mei 2009.

Saya telah menziarah keluarga mangsa untuk mengucapkan takziah dan menyampaikan sedikit bantuan kepada bapa mendiang iaitu R.Sugumaran.
Suasana di rumah keluarga mendiang amat pilu apabila ibu dan dua orang kakak kepada mendiang yang tidak dapat menahan kesedihan meraung dan menangis sehingga salah seorang dari kakak mendiang jatuh pengsan.
Ketika saya bertanya kepada bapa mangsa tentang kejadian tersebut, bapa mangsa berkata ahli keluarga terlalu sedih kerana pada pagi hari kejadian, mendiang menelefon bapa dan ahli keluarganya untuk bertanya khabar.
" Tiba-tiba tengah malam Polis Tentera datang ke rumah kami dan memaklumkan bahawa Sretharan telah meninggalkan kami untuk selama-lamanya" kata Sugumaran dengan sedih.

Mayat mangsa turut mendapat penghormatan dari anggota tentera yang mengiringi mayat mangsa ke tanah perkuburan.Kereta jenazah turut diiringi oleh pegawai-pegawai dan anggota tentera dari Batalion Pertama Rejimen Sempadan, Tanah Merah, Kelantan.

Kempen Bantah PPSMI Diteruskan


Bantahan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diteruskan dan diperhebatkan dengan melancarkan kempen menghantar poskad bantahan kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin , Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia. Anda boleh menyertai kempen ini dengan membeli poskad ini dengan harga RM1 dan poskan ke Pejabat TPM di Putrajaya. RM1 yang dibelanjakan amat bermakna demi masa depan generasi anak cucu kita. Bersama kita bantah PPSMI!!

20090515

Melawat Pondok An-Nuriah , Sg Udang


Baru-baru ini ada kesempatan ke Melaka kerana ada program bersama pelajar-pelajar IPT dan berkesempatan menziarahi sebuah institusi pendidikan agama Islam yang pernah diasaskan oleh Al-Marhum Tuan Guru Hj Abd Wahid. Kini , ianya semakin berkembang dan mempunyai bilangan pelajar melebihi 300 orang. Semoga ia terus berjaya dan saya mengambil gambar kenang-kenangan bersama Mudir, Guru dan kakitangannya.

20090512

Laporan Kejohaan Futsal DUN Paroi


Sila ke laman web Rembau Hari Ini di SINI untuk laporan kejohanan Futsal DUN Paroi yang diadakan pada 9 Mei 2009 yang lalu.

Terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan kejohanan tersebut.

20090505

Miliki Bidadari Dari Timur


Hayatilah sebuah novel memoir Bidadari Dari Timur hasil karya Tuan Sabariah Tuan Ishak isteri Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk perjuangan Muslimat

Novel ini adalah sebuah catatan isteri seorang pejuang yang meluangkan masa berpuluh tahun hidup bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Akhirnya beliau tampil membongkar rahsia hidupnya sejak bergelar ratu di hati ulama tersohor ini. Segala pahit getir dihirup bersama, saling mempercayai sehingga tiada ruang untuk meletakkan curiga di antara mereka.

Novel ini tampil dengan nada yang tulus dan harmoni. Ia berkisah tentang hidup, kesetian, pengorbanan dan perjuangan. Pengalaman isteri Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan dirakam dalam langgam bahasa yang puitis sehingga membuatkan pembaca turut sama meranduk tohor dalamnya sungai kehidupan yang punya saat kering dan bahnya.

Bidadari Dari Timur…
Seandainya direntasi laut segara,
Tiada yang bisa menandingi lautan tabahmu,
Seandainya gunung dijadikan pasak,
Belum tentu seteguh setiamu,
Seandainya ditawarkan buatku seorang isteri,
Kau yang ingin kubawa hingga ke negeri abadi…

Untuk tempahan hubungi Puan Norwani : halwan9@yahoo.com / 0133851202

Hasil keuntungan akan disalurkan ke DUN Paroi & Muslimat Kawasan Rembau

Milikilah Buku ini dengan harga RM12.90 , 128 halaman

Maklumat lanjut di http://atriza.blogspot.com/2009/05/bidadri-dari-timur-memang-best.html

Hari Sukaneka PASTI Kawasan Seremban Meriah




Baru-baru ini telah diadakan hari Sukaneka PASTI Kawasan Seremban dengan sambutan yang sungguh meriah. Kehadiran ibubapa yang ramai bersama pelajar-pelajar PASTI telah diisi dengan pelbagai acara sukaneka yang menarik. Tahniah kepada Pemuda PAS Kawasan Seremban yang kini dipimpin oleh Ketua yang baru, Sdra Zulkarnain Mohd Zaki. Semoga PASTI terus berjaya merapatkan hubungan PAS dengan masyarakat. Saya melihat ramai ibubapa yang cenderung untuk menghantar anak-anak ke PASTI walaupun ada di kalangan mereka yang tidak bertudung dan belum dapat mengamalkan cara hidup Islam yang sempurna. Tetapi keinginan dan kesungguhan mereka itu satu yang membanggakan dan mengharukan kita semua. PASTI kena fikirkan apakah program untuk mengisi ilmu-ilmu Islam pada para ibubapa pelajar-pelajar PASTI. Selamat Majujaya!

PASTI kalahkan FAM



Walaupun PAS pernah dilabel sebagai anti pembangunan dan kesukanan. Kami telah buktikan bahawa kami tidak pernah bersikap demikian. Sama jualah bila digelarkan tidak hormat istana, ianya sebenarnya tidak pernah berlaku. Yang hebohnya tanpa mengenang kembali peristiwa pengurangan imuniti Raja-raja Melayu pada tahun 1983/84 adalah puak sebelah sana. Saya pada tahun 1983 adalah penuntut tingkatan 3 di SMK King Geroge V , Seremban dan saya masih ingat tentang apa yang berlaku sehingga amat-amat memalukan kita orang Melayu apabila melihat apa yang dipaparkan di media elektronik dan media cetak. PASTI sebuah institusi pra sekolah di bawah Dewan Pemuda telah melangkah jauh apabila menganjurkan Pertandingan Bolasepak dan Bolajaring untuk anak-anak pra-sekolah. Mereka dilatih bersungguh-sungguh dan telah berjaya membuktikan kebolehan mereka. Mereka akan bertanding sehingga peringkat kebangsaan yang akan dianjurkan pada bulan 7 nanti di Perak Darul Ridzuan. Syabas PASTI sebab anda telah mainkan peranan FAM yang sepatutnya menyuburkan minat kepada sukan bolasepak ini.

Hari Pekerja di Dataran Seremban





1hb Mei setiap tahun adalah Hari Pekerja. Golongan pekerja adalah antara golongan yang paling banyak berjasa dalam membangunkan negara tercinta. Pada 1hb Mei yang lalu bertempat di Dataran Seremban telah diadakan Sambutan Hari Pekerja yang dianjurkan teman-teman NGO , PSM dan seluruh Pakatan Rakyat di N.Sembilan. Banyak acara menarik diadakan antaranya persembahan pentomen, ucapan dari wakil pekerja dan bacaan puisi dan sajak. Kehadiran yang ramai khususnya dari warga estet begitu mengharukan kami. Kami , Adun Pakatan Rakyat akan terus memperjuangkan nasib rakyat di masa depan. Hari ramai pekerja yang dibuang TIDAK mengetahui hak-hak mereka dan nasib mereka. Selamat Berjuang kepada semua. Ketahuilah Hak-hak anda semua.

Gotong-royong Bersama Peserta PLKN



Baru-baru ini, dengan kerjasama KRT setempat, saya telah dapat bersama dengan sebahagian besar peserta-peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang hadir ke Paroi untuk bersama-sama penduduk Taman Marida untuk bergotong-royong membersihkan kawasan taman tersebut. Sambutan yang amat menggalakkan begitu mengujakan kami. Banyak kawasan yang dapat dibersihkan dengan kerjasama mereka. Kami berharap anak-anak muda yang bakal memimpin negara ini dapat berperanan sebaik mungkin. Kehadiran mereka pagi itu menceriakan suasana program gotong royong. Terima kasih!!