BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

20090129

Ber"ENDOI" .... Budaya Melayu N.Sembilan Yang Semakin Dilupakan

Budaya Ber"ENDOI" adalah budaya orang Melayu khususnya di Kuala Pilah untuk meraikan kehadiran cahayamata dalam kehidupan suami isteri. Baru-baru ini dapat melihat sendiri budaya berendoi ini dilansungkan di sebuah kawasan perumahan di dalam DUN Paroi. Pandangan peribadi saya , adalah amat wajar budaya ini diteruskan dan diperkembangkan ke seluruh N.Sembilan. Bait-bait syair atau lagu yang didendangkan semuanya berunsur nasihat dan berunsur Islamik. Yang menariknya semuanya diidendangkan dalam bahasa yang dapat difahami iaitu Bahasa Melayu. Tetapi kalau ditanya pendapat Kementerian Pelajaran, tentulah mereka minta diubah supaya didendangkan dalam Bahasa Inggeris supaya generasi yang ada sekarang boleh faham sebab mereka belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Satu lagi yang menarik tentang budaya berendoi ini , ahli-ahlinya adalah muslimat. Kalau sesiapa yang berminat untuk meminta pasukan berendoi ini memperdengarkan persembahan mereka, bolehlah berhubung dengan saya.

Anak Muda Seri Menanti Bersama Pakatan Rakyat


Pada hari Isnin yang lalu, saya bersama YB Aminudin , ADUN Sikamat telah dijemput untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Takraw Terbuka peringkat DUN Seri Menanti. Pertandingan ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan sebanyak 10 pasukan telah bersama menyertai pertandingan tersebut. Ini petanda yang sangat baik untuk pakatan Rakyat di Negeri Sembilan. Peranan anak muda sangat bermakna dalam perjuangan Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan dan ini telah terbukti dalam Pilihanraya Kecil P036 Kuala Terengganu di mana anak muda telah memberi sokongan penuh kepada Pakatan Rakyat.

20090123

Meraikan Kedatangan Tahun Baru Cina Bersama Wartawan


Pada hari Khamis yang lalu 22hb Jan 2009, bersama rombongan yang diketuai Pesuruhjaya PAS N.Sembilan , Ybhg Sdra Zulkeply Mohamad Hj Omar , SUK BPPNS , Sdra Suhaire , Mr Yau Con Seng , Kelab Penyokong PAS N.Sembilan dan beberapa teman-teman yang lain telah mengunjungi pejabat-pejabat akhbar Cina di Seremban, N.Sembilan. Tujuan kami untuk meraikan kedatangan Tahun Baru Cina yang akan dirayakan oleh masyarakat Tionghua pada hari Isnin yang akan datang. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan "SELAMAT TAHUN BARU CINA" kepada seluruh masyarakat Cina di dalam DUN Paroi khasnya dan di seluruh N.Sembilan amnya.

20090119

Kempen Kesedaran Tentang Nyamuk Aedes





Dulu nyamuk Aedes hanya dikenali sebagai pembawa kuman demam denggi. Tapi kini ia juga dikenali sebagai pembawa kuman penyakit Chikugunya. Mengikut nasihat pegawai-pegawai Jabatan Kesihatan, penyakit Chikugunya ini tidak sebahaya denggi tapi kesan-kesan akibat penyakit ini terutamanya sakit-sakit di bahagian sendi amat teruk sekali sehingga ada yang tak boleh berjalan dan terpaksa didukung jika ingin ke bilik air. Teruk sangat, katanya, bagi yang kena mungkin tahu bagaimana sakitnya. Apa tindakan yang boleh kita ambil untuk mencegahnya : "Luangkan 10 minit seminggu untuk bersihkan kawasan dalam rumah dan persekitaran , pastikan tiada kawasan takungan air dan gunakan ubat pembunuh jentik-jentik untuk tempat takungan air kita seperti kolah air, air pam jamban dan lain-lain". Baru-baru saya hadir atas kapasiti peserta Program Penerangan Tentang Penyakit Aedes dan Chikugunya yang diadakan disebuah masjid dalam DUN Paroi. Turut diadakan program Pertandingan Mengutip Sampah Yang Boleh Menakung Air untuk kanak-kanak sekolah. AlhamduliLlah, ramai yang hadir. Kepada mana-mana masjid yang berminat untuk adakan program yang sama , bolehlah hubungi Jabatan Kesihatan Daerah yang berdekatan.

Pengalaman Pilihanraya Kecil P036 Kuala Terengganu Amat Berharga





Pengalaman bertugas di dalam PRK P036 Kuala Terengganu amat berharga bagi semua petugas khususnya para pemuda. Dewan Pemuda PAS N.Sembilan (DPPNS) amat berbangga dengan perlantikan Ust Khairul Azhar , Ketua Penerangan DPPNS sebagai Setiausaha Kontingen PAS N.Sembilan ke Kuala Terengganu. Terdapat juga beberapa orang pemuda yang telah bersedia menjadi petugas sepenuh masa membantu Ust KA antara Sdra Abd Latif dan Sdar Shahrizal. Semoga dapat manafaat ilmu Pilihanraya ini sebaik mungkin. Ianya tidak akan dapat diperolehi dari mana-mana Dewan Kuliah. Saya datang 2 kali ke KT, yang pertama semasa penamaan calon dan yang kedua, 2 hari sebelum Hari Pembuangan Undi. Pengalaman berceramah di atas lori yang di"sponsor' oleh YAB Sdra Lim Guan Eng bersama penceramah hebat yang lain, antaranya YB Lim Kit Siang, YB Anthony Loke , Dato' Tuan Ibrahim. Ust Nik Abduh, Ustazah Wan Hasrina dan YB Chong Eng tidak akan mudah saya lupakan. Pengalaman edar risalah pada hari terakhir kempen pilihanraya dan merayu undi bersama-sama petugas PAS N.Sembilan semasa hari pengundian juga amat manis buat diri saya. Inilah persembahan segala usaha yang terdaya kami lakukan demi kejayaan Islam. Semoga diterima sebagai amal 'ibadah. Amin...

Antara Yang Istimewa Sepanjang di Kuala Terengganu



Saya telah diberi kekuatan dan kesempatan oleh Allah SWT untuk bersama-sama kontingen PAS N.Sembilan untuk membantu kempen PAS dalam Pilihanraya Kecil P036 Kuala Terengganu. Saya sempat hadir selama hampir 5 hari di sana. Antara perkara yang menarik sepanjang di sana adalah kesempatan mendengar secara "live" khutbah yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Perak Darul Ridzuan. Memang hebat khutbah YAB sehingga kehadiran jemaah melimpah hingga ke luar, ada yang terpaksa bersolat di atas jalanraya. Aura pemimpin pakatan Rakyat begitu terserlah sehinggakan antara yang hadir adalah Senator yang dilantik oleh Kerajaan BN mewakili golongan artis iaitu YB Tan Sri Jins Shamsuddin. Sempat bertanya pada pemandu beliau yang mengatakan bahawa YB Tan Sri memang sengaja memilih Masjid Pengadang Baru semata-mata kerana ingin mendengar khutbah YAB DS Nizar. Kebetulan YB Tan Sri pun memang orang Perak. Cayalah Yob!!

20090115

Rumah Ibu Tunggal di Taman Marida....Rosak Akibat Ribut




Pada hari Rabu semalam, angin kuat telah melanda kawasan Paroi. Rumah seorang ibu tunggal , Puan Hajah Seribanun Hj Mahadi di No 662, Taman Marida telah rosak teruk kerana atap rumah beliau telah diterbangkan oleh angin kuat. Saya sempat melawat beliau sebelum berangkat ke Terengganu untuk kempen hari-hari terakhir. Saya nasihatkan supaya buat laporan polis dan tindakan susulan akan dibuat ke Pejabat Kebajikan Masyarakat , Seremban. Hati-hati kepada penduduk Paroi tentang kejadian angin ribut yang sedang melanda kawasan kita. Mohon pada Allah supaya Allah selamatkan kita dari bahaya dan mala petaka.

20090114

Ustaz Pun Boleh Urus Pasukan Bolasepak Profesional Negeri Perak


Siapa kata seorang ustaz tak boleh urus pasukan bolasepak. Kata orang, ustaz hanya layak mengajar di surau & masjid dan tukang baca doa dalam kenduri-kendara. Hari ini, Ybhg Ustaz Nor'Azli Musa atau Ustaz Taliban telah buktikan bahawa mereka yang berpendidikan agama juga boleh uruskan pasukan bolasepak. Beliau kini adalah pemangku pengurus pasukan bolasepak profesional Negeri Perak. Sempat berbual dengan beliau selepas perlawanan malam tadi. antara cita-cita beliau dalam sukan adalah untuk menanam kefahaman kepada pemain, penyokong dan rakyat Negeri Perak bahawa Islam tidak pernah menyekat umatnya untuk aktif dalam sukan, yang penting hukum-hakam agama sentiasa dipelihara dan kata beliau, tugas dakwah tidak pernah dilupakan walaupun sebelum ini dakwah Islamiah sangat sukar menembusi tembok stadium. Kami doakan semoga Ustaz Nor'Azli berjaya mencapai cita-citanya. Sewaktu keluar stadium , ramai penyokong Perak yang datang dari KL dan Selangor menunggu di luar stadium. Hebat Yob! Walaupun kalah tetap sporting dan bagi semangat pada pemain dan pengurusan. Tak macam penyokong-penyokong negeri lain. Ramai juga menunggu untuk bergambar dengan Ustaz Toliban. Tahniah! Ustaz....

Selepas 15 tahun...Kembali Ke Stadium Paroi







Malam tadi, hasil ajakan anak-anak muda dalam DUN Paroi, saya dan teman-teman Pusat Khidmat ke Stadium Tunku Abd Rahman, Paroi menyaksikan perlawanan antara Negeri Sembilan dan Perak. Ramai yang agak terperanjat dengan kehadiran saya di stadium. Bagi saya, kehadiran di stadium sebagai bukti bahawa dalam Islam, aktiviti sukan tidak pernah dipinggirkan cuma persoalan menjaga solat, menjaga adab dan menutup aurat kerana bagi orang Islam, sukan pun ibadah juga. Malam tadi, saya tetap menyokong N.Sembilan walaupun Perak negeri Pakatan Rakyat. Negeri Sembilan menang 3 - 0. Rumusan saya dari kacamata peminat bolasepak, mutu bolasepak di negara agak sederhana. Hantaran bola yang tidak tepat, kawalan bola yang lemah dan penyudah gol yang tidak sempurna antara petunjuk bahawa mutu bolasepak di negara kita masih rendah. Untuk bersaing di peringkat antarabangsa , mungkin jauh dari kejayaan yang ingin dicipta. Semasa waktu rehat , minum di kafeteria stadium, sempat berjumpa dengan pemain midfield pasukan N.Sembilan dan pasukan kebangsaan, Sdra Mohd.Shukor Adan. Beliau direhatkan kerana baru keluar hospital kerana disyaki denggi. Memang wabak denggi semakin merebak khususnya dalam kawasan DUN Paroi. Tahniah , Pasukan Negeri Sembilan.

Terima Kasih Bomba Senawang.....Tindakan Pantas




Petang semalam kira-kira jam 4 petang. berlaku kebakaran di kawasan semak berhampiran rumah kedai Taman Cattleya. Tetapi tindakan pantas anggota bomba dari Balai Bomba Senawang telah berjaya mengawal kebakaran dari merebak ke kawasan lain. Ingatan kepada semua, jangan buang puntung rokok ataupun punca api yang lain khususnya di kawasan semak-samun.

20090113

Laporan Polis Ke Atas Artikel dalam MalaysiaKini


Pada hari Jumaat yang lalu, saya mengikuti rombongan dari Teras Pengupayaan Melayu cawangan N.Sembilan membuat laporan polis terhadap penulis artikel yang jelas menghina usaha yang dibuat oleh umat Islam yang mengadakan bantahan terhadap serangan Israel "laknatuLlah 'alaih" kepada umat Islam di Palestine. Apa yang terkandung dalam artikel akan dipaparkan kemudian oleh Pengerusi Teras N.Sembilan, Ybhg Sdra Shamsul Kamal Hj Idris. Seharusnya semua NGO Islam mengambil sikap yang serupa terhadap semua usaha yang ingin memperlekehkan usaha kita menentang penjajahan Israel terhadap negara saudara seIslam kita di bumi Palestine.

Lawatan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ke Pusat Khidmat


Pada hari Sabtu yang lalu. Ybhg Ust Azman Syapawi telah melakukan lawatan ke Pejabat DUN Paroi untuk bertemu saya dan petugas-petugas DUN. Turut hadir Yhbg Sdra Shamsul Kamal , SU BPPNS dan Ybhg Sdra Suhairi, SUK BPPNS. Kehadiran beliau menyuntik semangat kepada kami semua. Beliau sebenarnya dalam perjalanan ke N.Sembilan, Melaka dan Johor untuk bertemu dengan hampir 2,000 orang pengundi luar yang akan mengundi dalam Pilihanraya Kecil P036 Kuala Terengganu. Inilah diantara usaha yang dilakukan oleh petugas khususnya Dewan Pemuda PAS dalam usaha meraih kemenangan dalam PRK nanti. Hampir semua yang ditemui menyatakan sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat, tanda-tanda awal kemenangan Pakatan Rakyat, Insya'Allah.

Bekas Pekerja APL Healthcare ke Pejabat Tenaga Kerja



Hari ini, Selasa 13hb Jan 2009 ke Pejabat Tenaga Kerja Seremban untuk bersama rombongan bekas pekerja-pekerja APL yang dijangka bertemu dengan bekas majikan mereka. Pertemuan yang telah diatur oleh pihak PTK Seremban untuk membincangkan masalah tuntutan pihak pekerja berkaitan pampasan pemberhentian tersebut sepatutnya berlangsung pada jam 9 pagi tadi. Malangnya sehingga jam 9:30 pagi pihak majikan tidak muncul-muncul, maklumat dari pihak PTK bahawa tindakan selanjutnya akan diambil ke atas majikan. Pihak PTK akan menghantar surat saman kepada majikan secara tangan ke pejabat mereka di Kuala Kubu Baru. Begitulah nasib pekerja yang mendapat majikan yang tidak bertanggungjawab. Saya bersama pihak jabatan yang berkenaan akan berusaha sehingga ke peringkat mahkamah untuk memperjuangkan nasib pekerja-pekerja ini. Terima kasih juga kepada pihak PTK kerana turut mengadakan taklimat tentang peluang-peluang kerja kosong kepada hampir 70 orang yang hadir pagi tadi. Doa saya semoga mereka cepat dapat kerja yang baru untuk mendapatkan pendapatan yang halal bagi keluarga mereka.

20090112

BOIKOT...Bukti Kita Benci Dengan Kejahatan Israel


Bagi saya tindakan boikot wajar kita lakukan kerana setakat ini itulah kekuasaan yang dimiliki oleh umat Islam yang jumlah melebihi 2 billion orang. Kuasa sebagai pengguna ini wajar sebaik mungkin untuk memberi tekanan kepada AS dan Israel supaya menghentikan kezaliman mereka kepada rakyat Palestine. Saya yakin jika semua umat Islam bersatu melakukan pemboikotan ini nescaya akan ada kesannya. Kepada mereka yang bekerja di industri kepunyaan AS dan Israel, yakinlah bahawa rezeki kita semuanya dari Allah, akan sentiasa ada peluang yang lain jika kita yakin kepada Allah SWT. Wang orang Islam yang tidak dibazirkan kepada restoran makanan segera milik AS dan Israel akhirnya akan dibelanjakan di kedai-kedai Tomyam milik orang Islam, Gerai Burger milik anak muda Islam dan pelbagai lagi produk makanan milik orang Islam. Orang Islam juga yang akan dapat manafaatnya. Inilah yang kita terangkan dalam demo dan kempen penerangan yang kita lakukan di seluruh negara. Yang terbaru demonstrasi menyokong saudara seIslam di Palestine dan menentang Yahudi & AS yang telah diadakan di Masjid Bandar Baru Senawang. Hadir bersama pimpinan NGO di N.Sembilan dan pimpinan PAS N.Sembilan termasuk Pesuruhjaya, Sdra Zulkeply Mohd Hj Omar, Ketua Dewan Ulamak , Ust Kasim Tahir , Timbalan-timbalan PJ dan SU Perhubungan PAS. N.Sembilan.

20090109

Bila Majikan Tak Patuhi Undang-undang...Salah Siapa


Hari ini, Khamis 8hb Jan 2009, kita menerima berita sedih lagi apabila sekumpulan pekerja-pekerja dari sebuah kilang perabut di Kawasan Perindustrian Sg Gadut telah menutup operasi mereka. Malangnya, pemberhentian pekerja-pekerja hanya di maklumkan melalui mulut sahaja. "Esok, kamu tak perlu datang kerja lagi" begitulah kata majikan kepada pekerja yang diberhentikan. Bila diminta surat pemberhentian kerja, majikan enggan memberi dengan alasan untuk apa surat tersebut. Kejadian majikan tidak mematuhi undang-undang buruh apabila memberhentikan pekerja tidak sepatutnya berlaku. Pihak yang bertanggungjawab khususnya Kementerian Sumber Manusia sewajarnya mengambil tindakan tegas kepada mana-mana majikan yang gagal mematuhi undang-undang tersebut. Saya dan YB Guna akan berusaha membantu mereka semaksima mungkin. Doakan kejayaan usaha kami.

20090106

Suasana Hari Penamaan Calon....PAS Tetap Di Hadapan






Beginilah suasana Hari Penamaan Calon bagi Pakatan Rakyat khususnya ketika Pilihanraya Kecil. Kehadiran yang luarbiasa ramainya sepertimana PRK Permatang Pauh. Dianggarkan hampir 30,000 kehadiran para penyokong Pakatan Rakyat samada dari Terengganu sendiri mahupun dari seluruh negara. Sokongan dari parti pelbagai kaum Pakatan Rakyat seperti DAP dan PKR juga amat membanggakan. Rombongan masyarakat India diringi dengan paluan gendang kaum mereka. Penyokong kaum Tionghua juga hadir, ada yang datang dari jauh terutama dari Kuala Lumpur dan Selangor. Sudah pasti kehadiran anggota Unit Amal menjaga kelancaran program juga begitu membanggakan. Anggota-anggota Nisa' juga kelihatan di mana-mana, sudah pasti kehadiran mereka juga menenggelamkan Puteri UMNO yang kurang kelihatan. Boikot ke? Akhirnya, bagi penyokong-pemyokong Pakatan Rakyat yang tidak dapat hadir sumbangan kewangan dan doa anda amat-amat diperlukan.

Catatan Perjalanan Ke Kuala Terengganu




Hari ini 6hb Jan 2009 adalah hari penamaan calon bagi Pilihanraya Kecil P036 Kuala Terengganu. Petugas-petugas pilihanraya samada dari Pakatan Rakyat dan BN yang datang dari seluruh negara telah mula berkampong di Bandaraya Kuala Terengganu. Saya dan 2 orang teman , Sdra Lutfi dan Shahrizal telah bertolak dari Bandar Seremban (satu dari 2 ibu negeri yang belum dapat pengiktirafan status Bandaraya) pada jam 5 petang. Agak lewat bertolak kerana Isnin , 5hb Jan adalah hari pertama persekolahan bagi sesi 2009. Banyak urusan persekolahan anak-anak dan lawatan ke PASTI-PASTI yang berada di bawah tanggungjawab Dewan Pemuda terpaksa dibereskan terlebih dahulu. Malam tadi sepatutnya saya hadir Mesyuarat Pemuda PAS Pusat di Kuala Ibai jam 9:00 malam tapi tak sempat hadir kerana perjalanan tersekat di Gambang akibat tayar kereta pancit. AlhamduliLlah, ada teman-teman yang membantu kalau sorang-sorang tak tahulah..Sampai di KT , jam hampir pukul 12:30 tengahmalam, Ustaz Khairul Azhar, Ketua Penerangan DPPNS yang juga SU Kontingen PAS NS ke KT telah menunggu kehadiran kami bersama orang kuat PAS Johol, Tuan Hj Mat Shom. Kami dibawa ke rumah petugas PAS NS yang sederhana besarnya. Bersihkan diri , bersugi dan berwudhu' , kami terus lelapkan mata. Jam 4:30 pagi, suasana riuh di rumah kami. rupa-rupanya rombongan petugas dari PAS Kawasan Jempol baru sampai dengan 2 buah van. AlhamduliLlah, kami bersolat Subuh secara berjemaah dengan penduduk kampong di surau yang berhampiran. Ramai juga jemaah waktu Subuh di Terengganu tak macam di tempat kami. Hari ini bersiap untuk penamaan calon...bagi mereka yang tak berkesempatan untuk hadir ke KT, doakan kejayaan Islam di KT...Islam yang dibawa Nabi bukan Islam Hadhari

20090105

Tahun 2009 Tahun Kecemerlangan PASTI....PASTI For All








Hari ini adalah hari pendaftaran PASTI bagi tahun 2009 di seluruh Malaysia . Saya sempat menziarahi beberapa buah PASTI antaranya PASTI Al-Amal (Taman Marida) , PASTI Al-Zulfaa (Taman Sri Kasih), PASTI Al-Hikmah (Taman Tuanku Jaafar), PASTI Al-Mustakim (Taman Pinggiran Senawang), PASTI Al-Hasanah (Bandar Seremban Selatan) dan PASTI Islamiah (Taman Desa Beringin). AlhamduliLlah, kebanyakan PASTI menunjukkan peningkatan dari segi pendaftaran. Yang terbaik setakat pagi tadi adalah PASTI Islamiah di mana pendaftaran pelajar baru melebihi 100 orang pelajar. Tahniah, Sdra Zulkarnain selaku pengurus PASTI Islamiah. Masyarakat telah dapat menerima PASTI sebagai sebuah institusi pra-sekolah yang baik dan menjadi pilihan ibubapa zaman ini. Insya' Allah , pada hari Khamis dan Jumaat saya akan melawati beberapa buah PASTI yang lain di Kawasan lain selepas kembali dari Kuala Terengganu sempena Pilihanraya kecil KT. Kepada semua warga PASTI, terima kasih atas segala sumbangan anda , semoga diberkati Allah SWT.

20090104

YB Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS menziarahi Makam Diraja


Pada hari Ahad 4hb Jan 2009, YB Presiden PAS telah datang ke Seri Menanti untuk menziarahi makam Al-Marhum Tuanku Ja'afar. Turut hadir mengiringi YB Dato' Seri Presiden adalah YB Salahuddin Ayub , Ketua Pemuda PAS Pusat , Ybhg Sdra Zulkeply Mohd Hj Omar, PJ PAS N.Sembilan , Timbalan PJ PAS N.Sembilan, kepimpinan PAS N.Sembilan , PAS Kawasan-kawasan , Dewan-dewan dan Unit Amal N.Sembilan. Hampir 30 buah kereta telah mengiringi rombongan YB Dato' Seri Presiden menuju ke Makam Diraja yang terletak di dalam kawasan Masjid Seri Menanti. Sebaik saja sampai ke Makam Diraja, Presiden telah melakukan solat dan berdoa di sisi makam, mudah-mudahan Al-Marhum ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Pengajaran yang diperolehi dan sangat wajar dicontohi dalam peristiwa ialah bagaimana Tuan Guru begitu menjaga wudhu' beliau, sepanjang perjalanan hampir 2 jam tersebut , beliau masih berwudhu'. Ramai yang terkejar-kejar mencari tempat wudhu' sedangkan beliau telahpun mengangkat takbir ketika itu. Semoga ramai yang dapat mencontohi beliau.