Assalammualaikum WBT dan Salam Sejahtera,
Terima Kasih YB Dato' Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri , NS.
YB Dato' Yang Dipertua , Pertama sekali saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kerana diberi kesempatan berucap dalam sesi Ucapan Perbahasan Belanjawan N.Sembilan bagi tahun 2009 ini.
Sebagai mukaddimahnya, saya suka merujuk kepada apa yang berlaku dalam dewan mulia pada sesi sebelah pagi tadi.
Pada pandangan saya, Integriti sesebuah kerajaan adalah apabila mereka berani dan bertanggungjawap untuk menjelaskan ke atas apa jua persoalan dan pertanyaan berhubung dengan projek dan perancangan yang telah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan. Keengganan untuk mempertimbangkan cadangan pihak ADUN Pakatan Rakyat untuk membuat penggiliran soalam dalam sesi soaljawab dan sesi perbahasan belanjawan diadakan esok supaya ada masa yang cukup untuk mengkaji belanjawan yang baru dibentangkan pada sesi sebelah pagi tadi.
Saya suka menasihatkan mana-mana kerajaan dalam dunia termasuk kjaan NS supaya jangan kita terlalu bangga dan sombong dengan kuasa yang dimiliki sehingga tidak dapat menerima cadangan dan pandangan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat berkaitan dengan format sesi soaljawab dan waktu sesi perbahasan.
Sewajarnya keputusan PRU ke12 memberi sedikit peringatan kepada kita semua bahawa tidak ada kerajaan yang akan kekal selama-lamanya.
Inilah yang dijar oleh Allah SWT dalam ayat Al-Quran , Surah Al-Imran yang bermaksud :-
“Katakanlah , Ya Allah pemilik kekuasaan (kerajaan) alam semesta , Engkau memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau mencabut kekuasaan itu dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau berkuasa memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau menghinakan sesiapa yang Engkau kehendaki.Ditangan Mu (wahai Allah) segala kebaikan dan kekayaan.Sesungguhnya Engkau berkuasa untuk berbuat apa sahaja terhadap apa sahaja”.
Dalam keadaan krisis ekonomi dunia hari ini seperti mana yang dimaklumi oleh semua pihak, sudah pasti ianya akan memberi kesan kepada ekonomi negara kita amnya dan Negeri Sembilan khususnya.
Antara kesan-kesan dari krisis ekonomi ini adalah meningkatnya masalah pengangguran di kalangan rakyat negeri ini. Mengikut sumber dari Jabatan Perangkaan Malaysia , Bilangan & Kadar Pengangguran Mengikut Negeri bagi Suku Pertama Tahun 2008 menyatakan bahawa Kadar(Peratusan) Pengangguran :-
(a) Malaysia : 3.6% (398,000 orang)
(b) N.Sembilan : 3.5% (13,900 0rang) – Tempat ke 8 terbawah
Berbanding Melaka yang berada di tempat pertama paling rendah 1.8% (4,800 orang)
N.Sembilan berada di kedudukan lebih rendah berbanding Kelantan 2.8%
YB Dato' Yang Dipertua,
Mereka yang menganggur bukan sahaja dari kalangan mereka yang berpendidikan setakat SPM bahkan mereka yang terdiri dari golongan siswazah juga ramai yang tidak mendapat pekerjaan dan menganggur.
Mengikut rekod , dari bulan Januari – Jun 2008 , kategori pencari kerja yang telah berdaftar di bawah System Electronic Labour Exchange (JCS) adalah seperti berikut :
Golongan Siswazah seramai 2,652 orang
Golongan Bukan Siswazah seramai 3,667 orang
(Sumber : Jawapan Bertulis kepada Soalan YB ADUN Sikamat)
Antara punca kepada peningkatan masalah pengangguran ini adalah meningkatnya pemberhentian pekerja oleh pihak industri samada melalui Skim Pemberhentian Secara Sukarela (VSS) atau Skim Pemberhentian Secara Wajib (CSS)
Mengikut Jawapan kepada Soalan Bertulis ADUN Sikamat dalam sidang yang lalu , dalam tahun 2007 seramai 754 orang pekerja tempatan diberhentikan melalui kedua-dua skim tersebut.
Dan pada tahun 2008 sehingga bulan Julai , sebanyak 611 orang pekerja tempatan diberhentikan melalui kedua-dua skim tersebut .
Isu Pengkorporatan JBA N.Sembilan.
Kita bimbang akan ada usaha untk mengurangkan tenaga kerja atas sebab untuk mengurangkan kos
Berdasarkan Anggaran Hasil Bagi Tahun 2009...(kod hasil 82500) Kerajaan Negeri dijangka mendapat sumbangan sebanyak RM10 juta hasil dari perkhidmatan dan pelesenan air selepas pengkorporatan JBA N.Sembilan.
Orientasi nya adalah keuntungan...
Persoalannya adalah apakah masalah pengangguran ini diambilkira semasa kerajaan Negeri Sembilan dalam menyediakan Belanjawan 2009 ini.
Sudah pasti ramai di kalangan mereka yang diberhentikan kerja ini dan sedang menganggur ini adalah mereka yang telah berkeluarga dan mempunyai tanggungjawap terhadap isteri dan anak-anak mereka.
Bagaimana mereka akan menyelesaikan bebanan bayaran bulanan pinjaman rumah dan kenderaan mereka?
Bagaimana keluarga ini akan dapatkan sumber kewangan untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka?
Berapa ramaikan keluarga malang ini termasuk anak-anak kecil yang masih menyusu terpaksa berlapar akibat ketua keluarga mereka tidak lagi mempunyai sumber pendapatan?
Dalam keadaan harga barangan keperluan harian tidak turun-turun ataupun turun pada kadar yang terlalu kecil walaupun kini harga minyak telah diturunkan sedikit demi sedikit berkali-kali. Harga minyak petrol RON92 kini pada paras harga RM2.00 seliter walaupun harga minyak mentah dunia sekitar USD 50 setong, jauh lebih rendah pada ketika sebelum minyak petrol dinaikkan 78 sen dahulu iaitu harga minyak mentah dunia sekitar USD 75 setong.
Dalam keadaan harga barang keperluan harian gagal dikawal oleh kerajaan, sudah pastilah nasib rakyat marhaen semakin susah dan tertekan.
YB Dato' Yang Dipertua,
Kembali persoalan awal saya tadi, bagaimana kerajaan Negeri Sembilan boleh membantu rakyat di negeri adat yang bertuah ini untuk meringankan bebanan rakyat?
Sudah pasti antara tindakan yang paling berkesan adalah mengujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat N.Sembilan.
Di dalam pembentangan YAB Adun Rantau ada menyatakan wujudnya pelaburan baru dari Jan – Sept 2008 di N.Sembilan yang berjumlah melebihi 1.04 Billion RM, yang mana mewujudkan 1,271 peluang pekerjaan yang baru. Ini tidak sepadan dengan jumlah orang yang menganggur pada suku pertama 2008 berjumlah 13,900 orang.
Mengikut jawapan kepada soalan bertulis ADUN Pakatan rakyat pada sidang yang lalu :
Anggaran peluang pekerjaan yang akan diwujudkan di Negeri Sembilan dalam tahun 2008 dianggarkan sebanyak 2,103 jawatan dan pada than 2009 adalah sebanyak 1,714 jawatan.
Ianya adalah terlalu sedikit berbanding mereka yang menganggur pada suku pertama tahun 2008 iaitu seramai 13,900 orang.
Kita sedar bahawa tanggungjawap ini bukan mudah lebih-lebih lagi dalam kegawatan ekonomi dunia hari ini di mana syarikat-syarikat besar akan berbuat apa sahaja termasuk memberhentikan pekerja , memindahkan operasi kilang ke negara lain dalam usaha mereka untuk mengurangkan kos operasi kilang mereka.
Saya bersetuju bahawa antara sektor yang boleh memacu ekonomi NS adalah :-
a) Sektor Perindustrian
b) Sektor Pertanian
c)Sektor Pelancongan
Tetapi apabila melihat anggaran perbelanjaan pembangunan untuk sektor tersebut tidak melambangkan kesungguhan kerajaan untuk membangunkannya :-
a) Kepala P61 Kemajuan Kaw Perusahaan hanya 1 juta
b) Kepala P51 Pertanian 3.363 juta
c) Kepala P62 Pelancongan 2 juta
Kita ingin mengingatkan bagaimana produk pelancongan adalah sesuatu yang penting untuk menarik minat pelancong dalam dan luar negeri
Sebagai contoh, bagaimana produk pelancongan yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri Sembilan iaitu projek Taman Ular di Ulu Bendol menemui kegagalan.Perbelanjaan jutaan ringgit hari ini menemui kegagalan.
Kembali kepada peruntukan belanjawan 2009 untuk 3 sektor penting untuk memacu ekonomi N.Sembilan.
Jumlah untuk ke 3-3 sektor hanya berjumlah 6.363 juta
Jumlah ini jauh lebih kecil berbanding anggaran perbelanjaan
untuk kepala P50 Menteri Besar iaitu sebanyak 10 juta RM.
Kita yakin apabila ke 3-3 sektor ini dimajukan dengan sebenarnya , lebih banyak peluang-peluang pekerjaan dapat diwujudkan.
Kami juga maklum beberapa perancangan Kerajaan NS dalam menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan.
Antaranya :-
(a) Mempersiapkan masyarakat dengan kemahiran dan pengetahuan
(b) Menggalakkan pembangunan usahawan IKS
(c) Mengadakan bengkel, kursus dan seminar kerjaya
(d) Membuka lebih banyak lagi kawasan-kawasan baru yang berpotensi untuk sektor perindustrian, pertanian dan perladangan.
Itu perancangan , tetapi persoalannya adalah bagaimanakah perlaksanaannya.
Contohnya Tekun – pemberian pinjaman lebih berorientasikan kepentingan politik parti pemerintah.
Juga perlaksanaan program ladang Rakyat yang disebut dalam sesi soaljawab – menemui kegagaalan...peserta tiada kesungguhan...pemilihan peserta mungkin berdasarkan fahaman politik bukannya minat, kesungguhan dan kemahiran peserta.
Maklumat tentang segala perancangan kerajaan NS itu tidak sampai kepada rakyat kerana kelemahan sistem penyampaian maklumat.
Masyarakat generasi muda dan rakyat di NS ini lebih maklum tentang tarikh Konsert Jom Heboh dari tarikh kursus-kursus kemahiran yang dianjurkan?
Mereka lebih terdedah tentang perlawanan bolasepak dan program-program hiburan berbanding program-program untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran mereka. Saya bersetuju supaya program JOM MASUK KAMPUNG dilaksanakan di seluruh N.Sembilan selepas dirasmikan di daerah Jempol baru-baru ini. Tetapi fokusnya mestilah untuk meningkatkan jatidiri , ilmu dan kemahiran generasi mudanya bukannya untuk tujuan politik semata-mata. Keikhlasan inilah yang akhirnya akan menyebabkan usaha murni kerajaan akan diredai Allah dan seterusnya berjaya mencapai matlamatnya.
Akhirnya saya berdoa mudah-mudahan segala usaha kita bersama bukan sahaja di pihak kerajaan bahkan kami juga , pihak Pakatan Rakyat turut berusaha untuk kebaikan rakyat akan diberkati Allah. Yakinlah kita bahawa jika kita gagal berperanan untuk kebaikan dan keadilan semua pihak, rakyat akhirnya akan menjadi hakim kepada kita semua dan ingatlah kuasa dan kerajaan yang kita miliki tidak akan kekal selama-lamanya kerana Allah akan mengurniakan kuasa dan kerajaan ini kepada sesiapa yang dikehendakinya.
Setakat inilah sahaja ucapan saya , sekali lagi terima kasih kepada YB Dato Yang Dipertua.