BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

20081023

Pemuda Paroi...Pemuda Contoh dalam DUN Paroi


Saya secara jujur berbangga dengan pemuda-pemuda di Kg Paroi dan Kg Sentosa yang telah berkerjasama atas nama "Pemuda Alternatif" yang telah melaksanakan pelbagai program yang baik khususnya dalam bulan Ramadhan yang lalu. Semoga ianya menjadi contoh pada pemuda-pemuda yang lain. Saya doakan semoga mereka tetap istiqamah kerana zaman muda kata Nabi SAW adalah zaman yang penuh dengan dugaan dan cabaran, maka berjayalah orang muda yang tetap dalam keimanan dan ketaqwaan.

Angsi Ville...antara kawasan banjir paling teruk


Angsi Ville yang terletak berhampiran Taman Tuanku Jaafar, berada dalam kedudukan yang agak rendah. Hujan lebat yang berlaku pada malam 19hb Oktober yang lalu, telah menyebabkan Angsi Ville tenggelam hampir 8 kaki dengan limpahan air dari parit yang berhampiran. Persoalan yang bermain dalam pemikiran penduduk adalah apakah punca sebenar yang menyebabkan banjir ini berlaku ?
(a) Sistem perparitan yang tidak sempurna dan sering tersumbat
(b) Projek Pembentungan Berpusat oleh IWK di kebanyakan taman-taman perumahan di sekitar DUN Paroi
(c) Projek Pembinaan Landasan Keretapi Berkembar yang juga berhampiran DUN Paroi
(d) Lombong-lombong Pasir haram
(e) Tanah runtuh di Taman Jasmin, Taman Lily , Taman Marida dll
(f) BAN (empangan) yang tahan lumpur di Taman Bandar Senawang pecah?
Harap pihak berwajip dapat mengenalpasti punca sebenar supaya banjir seperti ini yang telah merosakkan harta benda rakyat tidak berulang lagi.

Banjir Melanda DUN Paroi



"Dan Kamu merancang dan Allah jua merancang dan Allah jua sebaik-baik perancang"....antara lain maksud ayat Al-Quran. Taman Tuanku Jaafar yang telah didiami oleh penduduk sejak 20 tahun yang lalu , tidak pernah mengalami banjir. Tapi dengan takdir Allah, pada 19hb Oktober jam 9 malam yang lalu, sebahagian penduduk di Taman Tuanku Jaafar Fasa 1 dan 2 telah diuji dengan peristiwa banjir di mana rumah kediaman mereka dinaiki air sehingga setinggi 2 kaki. Saya sempat mengunjungi beberapa buah rumah dan memberi bantuan setakat yang termampu, pihak pejabat DUN telah merekodkan nama-nama mereka yang terlibat untuk tindakan selanjutnya. Saya mendoakan semoga mereka yang terlibat akan diberi kekuatan oleh Allah SWT dan semoga mereka bersabar dengan apa yang berlaku.

20081013

Sedaya-upaya selesaikan masalah dan kesusahan rakyat



Selepas hari raya ini, makin banyak masalah yang timbul berhubung dengan kemudahan yang ada di DUN Paroi. Antaranya :-

a) Masalah penaiktarafan projek padang permainan di Taman Satria. Projek ini telah mendatangkan kesusahan kepada para penduduk sekitar. Antaranya masalah habuk pasir yang berterbangan. Keselamatan kanak-kanak juga tidak terjamin apabila tiada dibina dinding yang memisahkan antara kawasan tersebut dari dimasuki kanak-kanak.
b) Limpahan air kumbahan di"Main Hole" di sempadan Taman Satria dan Taman Alamanda. Perkara ini telah lama berlaku dan hari ini pihak kontraktor meneruskan menggali lubang ini atas desakan pihak yang bertanggungjawab. Penduduk Taman Alamanda mendedahkan bahawa sejak beberapa bulan yang lalu, mereka sering terganggu dengan limpahan air kumbahan dan banyak juga air kumbahan yang masuk ke rumah mereka

Tindakan seterusnya dimana kita akan melaporkan perkara ini kepada pihak yang berkenaan. Semoga berjaya,

20081008

En Yau Con Seng.....Penyokong PAS Sejati


En Yau telah bersama dengan PAS N.Sembilan sejak 10 tahun yang lalu. Beliau begitu komited dengan perjuangan PAS , indikatornya adalah hampir tidak ada satu hari pun beliau tidak menghubungi saya untuk berbincang tentang perjuangan PAS. Setelah sekian lama berjuang, hari ini kami dapat lihat kesannya.Pernah satu hari , kami sedang berjalan di bandar Seremban, kami bertembung dengan seorang auntie berbangsa Cina. Sebaik saja mengetahui kami dari PAS , beliau terus melaungkan " Oh! yeah PAS bagus!!" . Terkaget kami melihat situasi tersebut. Tiada lagi perasaan takut dan bimbang masyarakat Cina terhadap PAS. Saya turut mengakui, salah satu faktor kemenangan PAS di DUN Paroi adalah sokongan besar pengundi-pengundi Cina terhadap PAS. Terima Kasih En Yau, semoga Allah memberi hidayah dan petunjuk kepada anda semua untuk menerima Islam sebagai panduan hidup kita. Orang Cina bukan Islam yang tidak pernah mengucap 2 X syahadah dan tidak pernah sujud atas sejadah pun kini telah menyokong perjuangan Islam, kenapa tidak KITA ?

Bantuan Kerusi Roda


AlhamduliLlah , dalam bulan puasa baru-baru ini, kami menerima bantuan beras dan kerusi roda dari sebuah kedai farmasi di Seremban. Kami mendoakan semoga perniagaan beliau semakin baik dan maju. Jika sesiapa ada maklumat mengenai sesiapa yang memerlukan kerusi roda , harap maklum pada Pusat Khidmat DUN Paroi. Keutamaan akan diberi kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

20081006

Turun Padang ke Taman Tuanku Jaafar


Sebelum raya baru-baru ini, pihak DUN Paroi telah membuat kunjungan kepada beberapa buah rumah terpilih khususnya golongan ibu tunggal dan orang susah yang memerlukan bantuan. Dengan bantuan orang kuat TTJ , Pak Din dan Tuan Hj Abu Bakar, kami telah berjaya mengunjungi beberapa buah rumah untuk menyerahkan sedikit bantuan barangan dapur dan duit raya.Terima kasih kepada semua penyumbang dan pihak yang membantu secara langsung dan tidak langsung.

Membantu Penghuni Tanah Rezab KTM di Rembau


2 hari menjelang Aidilfitri, kami dihubungi oleh teman-teman KeAdilan Bahagian Rembau untuk bersama-sama membantu penduduk di tanah rezab KTM di pekan Rembau yang telah menetap di kawasan tersebut hampir 20 tahun lamanya. Khabarnya mereka, mengikut surat yang diterima dari Perbadanan Aset KTM , Kuala Lumpur meminta mereka berpindah segera dan tarikh akhirnya adalah pada 29hb Sept 2008 yakni 2 hari sebelum Hari Raya. Setelah berhubung dengan pihak yang berkenaan di KL, kami diberi jaminan bahawa mereka diberi kelonggaran untuk tinggal sehingga selepas Hari Raya.