BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

20080729

Dr Rosly....tak lupa mendoakan dan bantu Paroi


Baru-baru ini sempat bersama Dr Rosly yang pulang ke Malaysia . Beliau yang ceria dan gembira dengan aktiviti di DUN Paroi sentiasa tak lupa doakan kami di sini dan sering membantu. Semoga Allah berikan kesihatan dan kekuatan kepada Ybhg Dr untuk terus berjuang dalam perjuangan Islam ini. Kepakaran beliau dalam bidang ekonomi diiktiraf di peringkat antarabangsa walaupun Malaysia tidak manafaatkan ilmu beliau.

Demi Rakyat...Kami boleh berbincang



Satu sejarah bagi rakyat DUN Paroi apabila kami...wakil rakyat PAS dan wakil rakyat UMNO yang juga Exco Kerajaan NS boleh bersama dalam satu pentas tanpa sebarang prasangka dan syarat. Baru-baru ini dalam Majlis Perasmian Skim Kepolisian Masyarakat Taman Jasmin, pihak penganjur telah membuat keputusan yang bijak apabila menjemput wakil rakyat PAS dan Exco Kerajaan NS untuk sama-sama menjayakan program yang baik demi kepentingan dan keselamatan rakyat. Kami sempat berbincang tentang isu-isu semasa khususnya berkaitan dengan masalah jenayah yang semakin meningkat khususnya di dalam DUN Paroi. Banyak cadangan yang diberikan , semoga dapat dimanafaatkan untuk rakyat Paroi. Terima kasih YB Dato Hasim Rusdi, semoga dapat dicontohi oleh ADUN BN yang lain dan harap-harap tiada pihak yang menekan tindakan berani ADUN Labu ini.

Catatan ADUN Kubang Rotan...seiring ADUN Paroi

Rakyat jangan leka, semangat bernegara seperti dulu mesti ditinggalkan.

Saya terpanggil untuk menulis sebagai memperkembangkan idea. Kurang lebih empat bulan telah berlalu berusaha berkhidmat sebagai wakil rakyat, pengalaman cukup berwarna-warni. Apa pun penilaian yang diberikan rakyat jawatan ini telah menjadi beban amanah yang perlu saya tanggung. Saya tidak tahu report card saya yang ada di tangan rakyat lulus atau tidak. Dengan izin Allah saya kira tidak pernah saya bazirkan masa, wang ringgit, fikiran dan peluang untuk saya curahkan bakti bagi memenuhi amanah. Senentiasa saya memperingatkan diri berpolitik punya tujuan untuk menyempurnakan ketakwaan kepada Allah.
Acap kali dalam ucapan saya katakan perubahan rakyat pada pilihanaraya ke 12, sebuah kemerdekaan baru. Bukan senang untuk berubah. Telah banyak pengorbanan dibuat oleh orang-orang terdahulu. Namun selepas 50 tahun baru muncul keberanian rakyat untuk berubah. Perubahan berlaku pun selepas `busuk bangkai’ kerakusan kuasa, rasuah, penyelewengan, salah urus tadbir, pembaziran, agihan kekayaan Negara yang tidak adil, politik korup, fitnah dan konspirasi, kroni, nepotisma, menjual bangsa dan agama tidak dapat ditutup lagi. Ini hakikat yang menyebabkan perubahan.
Terbukti BN telah gagal. Kuasa yang diberikan rakyat bukan lagi untuk membela rakyat, bukan amanah tapi peluang untuk membela diri, keluarga dan kroni. Saya setuju BN mula rosak teruk selepas Petronas mula berhasil. Mungkin di peringkat awal semua dapat merasa nikmat kekayaan Negara ini. Tapi akhirnya timbunan kekayaan ini telah memusnahkan keluarga BN akibat berebut nikmat Negara ini. Siapa berkuasa dialah menjadi `kepala waris’ untuk membahagikan kekayaan ini. Akibatnya sampai sanggup fitnah menfitnah, pijak memijak berebut kekayaan. Kuasa sudah jadi barangan jual beli. Rakyat seketika turut terikut-ikut. Dibuai dengan mimpi indah Negara maju, tradisi membela rakyat, janji manis, habuan sementara dan sebagainya, rakyat terus memberikan undi kepada BN. Lebih malang selepas semuanya parah baru mampu rakyat berubah.
Pengalaman baru kurang lebih empat bulan berkhidmat ratusan rintihan rakyat memenuhi fail di Pusat Khidmat DUN. Rakyat tak terbela, perlu rumah untuk berlindung, perlu bantuan pendidikan anak, perlu ruang untuk menjaja, perlu wang untuk rawatan, perlu kemudahan asas air dan elektrik, perlu longkang untuk mengatasi banjir kilat, perlu khidmat yang lebih baik dari PBT untuk selesaikan masalah sampah, perlu tanah untuk bercucuk tanam, perlu harga hasil pertanian yang lebih baik dan macam-macam lagi. Masalah sosial menakutkan, pusat perjudian, dadah, remaja liar, rempit, keciciran menimbun di dalam masyarakat.
Diberatkan lagi bila BN yang masih memerintah diperingkat pusat tak tahu bagaimana nak turunkan harga minyak. Akibatnya rakyat lebih terdesak, nelayan menjadi mangsa, yang miskin bertambah miskin, peniaga kecil kurang pembeli, pak tani meletakan semua tanggung jawab kewangan kepada biji padi yang dituai, peningkatan kos hidup ini telah menambah parah kehidupan rakyat.
Oleh kerana perubahan hanya boleh berlaku bila keadaan sudah parah, akibatnya masa sangat diperlukan untuk berubat. Perubahan ini merupakan kesempatan keemasan untuk rakyat. Kita bina kekuatan kuasa rakyat. Rakyat tidak boleh pentingkan diri sendiri dan kelumpuk. Budaya ini mesti kita ubah. Kesungguhan yang ditunjukkan Pakatan Rakyat perlu sokongan padu. Semangat baru untuk berubah kehadapan mesti diperjuangkan. Kita jangan leka. Lihat sekarang BN terpaksa buat apa yang tak pernah dibuat ketika rakyat bersamanya. Debat pun dah ada, harap kerap sikit biar rakyat tahu apa yang sebenar, BPR pun nampak dah mula sibuk, apakah dulu tiada rasuah, orang besar pun dah kena soal siasat, pengumuman bantu tolong rakyat makin kerap, pemimpin pun dah kerap turun padang. Inilah hasilnya kalau rakyat bijak membuat keputusan. Kita jangan leka biar kita faham yang sebenar, tinggalkan budaya lama yang diajar BN kita bina bangsa dan Negara kita untuk masa depa yang lebih baik. Sokongan padu rakyat akan menutup pintu kejahatan untuk kembali terbuka. Kita kuatkan pendirian kita bersama. Cukuplah racun yang ditaburkan dulu. Apa yang tidak dikatakan kepada PAS contohnya. Lebih malang kepada Islam yang suci. Perjuangan di Kelantan sudah terbukti, apa yang nak difitnahkan lagi. Sejuk hati Kelantan dah sampai ke peringkat untuk pastikan prestasi seseorang diukur dengan sembahyang (untuk orang islam). Perkara ini terlalu jauh nak diukurkan dengan perjuangan BN yang hanya berkayu ukurkan dunia. Semua negeri PR sekarang sedang menempa perubahan kearah kerajaan yang baik dan diredhai Allah. Membina rumah baru lebih mudah dari memperbaiki rumah lama. Ayuh kita bersama-sama melangkah menunaikan tanggung jawab kita untuk Negara dan bangsa kita yang kelak pasti akan disoal oleh Allah. Katakan tidak kepada UMNO dan BN. Ya Allah lapangkanlah dada kami, Permudahkanlah urusan kami, masih terlalu banyak yang kami perlu lakukan.. amiin.

20080728

Rumah Yang Masih Perlu Diperbaiki..Bantuan Diperlukan





Pihak DUN Paroi sedang berusaha untuk memperbaiki beberapa rumah yang berada di sekitar Paroi yang memerlukan bantuan demi keselesaan mereka. Mudah-mudahan dengan sumbangan anda dapat meringankan bebanan keluarga ini dan semoga mereka akan dapat tersenyum di pagi Aidil-Fitri nanti. Untuk yang ingin menyumbang, sila berhubung dengan Sdra Hasan 019-2171942

20080724

Program Membaikpulih Rumah Yang Uzur



Pejabat ADUN Paroi dengan sokongan dan dokongan ramai pihak telah berjaya melangkah setapak lagi ke hadapan. Pejabat DUN sedang berusaha untuk membaikpulih rumah seorang penduduk di Kg Paroi yang sudah uzur di bahagian hadapannya dan tidak boleh didiami lagi. Dana hasil sumbangan individu yang budiman dan orang ramai telah berjaya kami kumpulkan untuk projek ini. Sumbangan yang lain amat-amat kami harapkan. Hubungi En Hasan 019-2171942. Semoga keadaan rumah yang lebih baik ini akan menceriakan keluarga ini menjelang Ramadhan dan Aidil-Fitri.

Kalendar Tahun 2009....Membeli sambil Menyumbang






Tahun 2009....masih jauh lagi dan ada 4 bulan lagi sebelum tahun 2008 melabuhkan tirainya, pihak MTD Paroi telah mula menjual kalendar 2009 yang memaparkan gambar-gambar Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi 5 buah negeri Pakatan Rakyat. Dengan harga RM5 sekeping,secara automatik pembeli akan menyumbang kepada Tabung Dana DUN Paroi. Dalam keadaan tidak ada peruntukan dana untuk DUN Paroi, sumbangan anda akan dapat membantu kami meringankan bebanan kehidupan orang miskin , ibu tunggal dan anak-anak yatim di DUN Paroi ini. Boleh dapatkan kalendar 2009 di pejabat DUN Paroi di Taman Tasik Jaya atau hubungi Pegawai Khas DUN Paroi , Sdra Shaharudin (KUDIN) di talian 013-2799700 atau 06-6794609. Ramai pimpinan PAS telah memiliki Kalendar cetakan terhad ini antaranya Timbalan Speaker DUN Kedah , YB Ust Abd Ghani Ahmad, Exco Kerajaan Negeri Kedah , YB Amirudin dan Exco Kerajaan Negeri Selangor (YB Dato' Dr Hasan Ali dll). Anda bila lagi??

20080722

Bersama Keluarga Sdra Zakaria Bin Zainal


Sdra Zakaria bin Zainal, seorang pekerja di JBA Loji Penapis Rantau dan beliau juga seorang penduduk di Taman Alamanda, Senawang. Sdra Zakaria dimaklumkan oleh isteri beliau telah hampir 2 minggu tidak dapat dikesan sejak 9hb Julai 2008 yang lalu. Saya dan Setiausaha Surau Taman Alamanda telah menziarahi keluarga ini bagi bertanya khabar dan menyampaikan sedikit sumbangan untuk meringankan bebanan keluarga ini. Isteri beliau tidak bekerja dan mempunyai seorang anak perempuan yang kini belajar dalan Darjah 3.

20080721

Tahniah....Kepimpinan Kerajaan PR Kedah

Tahniah kepada YAB Dato Seri Ustaz Azizan Abd Razak dan beberapa orang Exco Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman yang telah dianugerahkan pingat kebesaran sempena 50 tahun pemerintahan Sultan Kedah. Pada 19hb dan 20hb Julai baru-baru ini saya telah menghadiri Majlis Istiadat Kawalan Kehormatan di Padang Besar, Seri Menanti dan Majlis Santapan Negeri di Hotel The Royale Bintang, Seremban. Pengalaman tersebut mengajar saya dan beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat tentang perjalanan majlis rasmi bersama DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus. Mungkin inilah yang dirasai oleh sahabat-sahabat kita di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

20080714

Rumah Pakcik Ini......Takde Longkang



Mengikut maklumat Pakcik Daud, rumah beliau di Kg Sentosa Jaya dibina oleh kerajaan melalui skim PPRT. Malangnya setelah siap, rumah ini takde longkang. Akibatnya , setiap kali musim hujan , kawasan halaman ruman beliau akan dinaiki air dan biasanya akan mengakibatkan berlakunya banjir kilat. Pakcik Daud , mempunyai seorang isteri yang ada penyakit serius dan anak beliau pula adalah seorang OKU. Saya sedang berusaha untuk dapatkan bantuan bagi membina longkang di sekeliling rumah beliau. Sesiapa yang berminat untuk membantu , sila hubungi En Hasan 019-2171942

Masyarakat India Juga Dibantu...PAS For All


PAS yang membawa dasar Islam dalam perjuangannya telah membuktikan bahawa PAS boleh menunaikan tanggungjawabnya dengan baik tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit. Inilah dasar kami, sesiapa yang susah akan tetap dibantu sekadar kemampuan yang dimiliki tanpa mempersoalkan agama dan bangsa mereka mahupun pegangan politik mereka. Ini berbeza dengan golongan pemerintah yang kini telah membuka pusat khidmat sendiri di kawasan yang mereka kalah, mereka akan bertanya terlebih dahulu tentang keahlian mereka dan pelbagai soalan lain yang tak wajar.

20080712

1st Click Cyber Cafe....Tahniah Orang Kota


Orang Kota sepatutnya berbangga dengan tertubuhnya satu Pusat Internet yang diberi nama "1st Click Cyber Cafe". Pusat Internet diusahakan oleh Puan Maznah Talib seorang tokoh masyarakat bersama dengan seorang ahli korporat (Hj Abu Bakar) untuk masyarakat Kota. Saya telah dijemput merasmikan pusat ini semalam, saya doakan semoga ianya berjaya dan menjadi Cyber Cafe Contoh yang mementingkan ilmu, akhlak dan iman. Tahniah 1st Click Cyber Cafe.

20080710

Bersama Hantar Memo


Baru-baru ini wakil rakyat Pakatan Rakyat N.Sembilan telah bersama-sama menghantar memo kepada Setiausaha Kerajaan Negeri berhubung kejadian layanan kurang mesra di Pejabat JKR N.Sembilan yang dialami oleh dua orang wakil rakyat DAP iaitu YB Tuan Cha Kee Chin dan YB Puan Wong May May. Saya dan YB Aminuddin Harun dalam sidang akhbar itu juga menyatakan sikap kami berhubung penubuhan Pusat Khidmat Barisan Nasional dalam kawasan-kawasan yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Alasan penjimatan wang rakyat semasa menarik balik elaun pusat khidmat RM1500 dulu hanyalah omongan kosong apabila kerajaan membazirkan wang rakyat dengan menafikan tugas dan tanggungjawab wakil rakyat yang menjadi pilihan rakyat. Semoga Allah memberi pengajaran kepada pemimpin yang zalim dan tidak adil kepada rakyat.

20080708

Majalah Purnama Keluaran Terbaru...akan terbit


Majalah Purnama N9 keluaran terbaru akan terbit tak lama lagi. Kali ini fokus kita adalah kepada persoalan remaja dan masalah yang sering mereka hadapi. Kita berharap keluaran kali ini akan dapat membantu merungkai masalah yang timbul yang disebabkan oleh apabila kita tidak melaksanakan dasar Islam dalam kehidupan kita. Sesiapa yang berminat untuk iklankan sebarang produk dan aktiviti mereka bolehlah merujuk kepada Pusat Khidmat DUN Paroi 06-6794609

Penduduk Paroi sahut seruan Bumi Hijau


Dalam menghadapi kemelut kenaikan harga barang, rakyat diajak untuk bercucuk tanam dengan menanam sayur-sayuran dan pokok tanaman kontan seperti pisang, ubi kayu dan jagung. Antara yang menyahut seruan adalah Tuan Hj Baha, yang telah menggunakan tanah di tepi longkang jalan utama berdekatan Surau Taman Tasik Jaya Fasa 1. Bersama-samalah kita contohi warga emas yang telah berusia 70an ini. Sayur yang tidak dicemari racun dan tubuh badan pun sihat.

20080702

Rakyat Tetap Bersama Dato Seri Anwar Ibrahim




Kami tidak mahu ditipu lagi..UMNO sudah bankrap idea dalam menghadapi Pakatan Rakyat. Semalam dalam ceramah Perdana di Stadium Melawati , dijangka 20,000 orang hadir untuk mendengar penjelasan DSAI berkaitan isu yang terbaru. Kehadiran rakyat berbilang kaum melambangkan bahawa rakyat semakin bijak dan akan tetap bersama pimpinan Pakatan Rakyat yang akan membawa harapan baru kepada rakyat. Tahniah rakyat Malaysia.

Tidak Menghormati Pilihan Rakyat


Pelik tapi itulah hakikatnya....demokrasi di negara kita semakin terhakis. Pemimpin tidak menghormati pilihan rakyat dalam pilihanraya yang lalu. Tindakan kerajaan NS melantik pegawai / wakil khas untuk kawasan DUN yang mereka kalah sangat dikesali. Siapa yang bayar gaji mereka? Keputusan lantikan ini diluluskan dalam mesyuarat Exco Kerajaan N.Sembilan. Ini yang tertulis dalam akhbar Sinar 2hb Julai 2008. Kalau guna duit UMNO, mereka boleh lantik 1000 orang pegawai pun, rakyat tak marah. Elaun pusat khidmat sebanyak RM1500 yang telah ditarik balik atas asalan untuk penjimatan duit rakyat. Kini mereka buka pula 11 buah pusat khidmat yang lain. Tidakkah ini membazirkan wang rakyat sedangkan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat telah ada pusat khidmat mereka. Lebih memeranjatkan lagi, 11 orang pegawai ini boleh menurunkan tandatangan mewakili kerajaan negeri bahkan mereka dibenarkan duduk dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Daerah serta Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah. Inilah politik tidak matang UMNO dan Barisan Nasional. Tidak cukupkah pengajaran yang telah diberi oleh rakyat dengan mengalahkan BN dalam 15 kerusi DUN dalam Pilihanraya yang ke 12 yang lalu? Semoga Allah memberi petunjuk kepada mereka dan sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Amin..

Kg Paroi...dilanda Banjir





Pada hari Sabtu yang lalu, jam 6 petang setelah hujan lebat hampir 3 jam, beberapa rumah di Kg Paroi dinaiki air hampir 2 kaki. Banyak kawasan rumah yang dinaiki air terutamanya yang berada berhampiran dengan Sungai Paroi. 2 buah rumah yang berhampiran dengan tebing sungai berada dalam keadaan kritikal terutamanya bahagian dapor kerana akibat hakisan tebing sungai , tebing runtuh dan berada hanya 2 meter dari bahagian dapor rumah mereka. Laporan kepada pihak yang berkenaan telah dibuat. Saya berdoa mudah-mudahan semua penduduk Kg Paroi yang terlibat bersabar dan semoga segala masalah yang dialami sejak puluhan tahun yang lalu akan dapat diatasi , Insya'Allah