Pada hari Ahad 29hb Jun 2008 , telah diadakan Hari Kesihatan Komuniti di Apartment Seroja anjuran bersama Teras N.Sembilan dan pihak surau Al-Hikmah. Banyak aktiviti secara percuma diadakan terutamanya berkaitan dengan kesihatan seperti pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan gigi, Pameran COMBI , Pameran PEMADAM , derma darah dan sumbangan kepada anak yatim dan Ibu tunggal. Tahniah kepada Teras N.Sembilan dibawah pimpinan Sdra Shamsul dan Pengerusi Surau AL-Hikmah , Tn Hj Arifin.
20080626
Skim Kepolisan Masyarakat Perlu Dicontohi
Semalam sempat bersama pasukan Skim Kepolisan Masyarakat di salah satu taman di Paroi. Setakat ini mereka telah beroperasi hampir 2 bulan dan banyak kes yang telah berjaya mereka selesaikan terutama berkaitan dengan kes kecurian, masalah kes bersekedudukan tanpa nikah dan kes dadah. Sewajarnya skim ini dicontohi oleh semua penduduk di taman-taman yang lain.
20080625
Sumbangan Terus Dihulur
Setakat termampu dan hasil sumbangan orang ramai , pihak DUN telah berjaya membantu 2 keluarga yang memerlukan bantuan. Kak Ros memerlukan yang memerlukan alat bantuan untuk bergerak, pihak Pusat Khidmat telah berjaya mendapatkan "Walking Frame" untuk memudahkan pergerakan beliau di rumah. Seorang lagi yang dibantu adalah ibu muda yang mempunyai seorang anak, tidak bekerja dan telah ditinggalkan suami sejak April yang lalu. Sesiapa yang ingin membantu, hubungilah Pusat Khidmat.
Bunyi Bising Mengganggu Penduduk
Penduduk Taman Tasik Jaya di Jalan Bunga Raya 28 dan yang berhampiran telah membuat aduan tentang bunyi bising yang datang dari kilang besi berhampiran sejak beberapa tahun yang lalu. Operasi kilang yang kerapkali berterusan hingga waktu malam benar-benar mengganggu penduduk terutama bagi mereka yang mempunyai anak kecil dan yang perlu tidur awal. Satu surat rasmi dari penduduk akan dihantar kepada pihak pengurusan kilang dan tindakan susulan kepada pihak Jabatan Alam Sekitar secepat mungkin.
20080624
Sehari di Parlimen
Pada hari Isnin 23hb Jun 2008, saya bersama YB Aminudin , ADUN Sikamat,Sdra Saharrudin dan seorang lagi teman telah berkesempatan mengikuti Sidang Parlimen. Kebetulan telah dibentangkan satu usul berkaitan dengan kenaikan harga petrol. Itulah sikap kerajaan BN , dah naik harga minyak baru nak bincang dalam parlimen. Sudah ramai rakyat yang susah dan menderita , baru nak ajak wakil rakyat Pakatan Rakyat berbincang. Antara hujah yang menarik untuk difikirkan adalah dari Ahli Parlimen Shah Alam , YB Ir Khalid Samad :-
"Antara alasan BN naikkan harga minyak adalah kerana tidak mahu lagi rakyat bergantung kepada subsidi minyak. Tapi kata YB Khalid Samad, sebenarnya Petronas juga bergantung kepada subsidi kerajaan apabila semua urusan berkaitan petroleum negara diserahkan bulat-bulat kepada Petronas walaupun Petronas memberi pulangan yang rendah kepada kerajaan ataupun Petronas tidak berupaya beroperasi dalam kos yang rendah, sepatutnya urusan Petroleum negara dibuat secara terbuka supaya mana-mana syarikat yang berupaya memberi pulangan yang tinggi dan berupaya beroperasi secara optimum dengan minima yang kos diberi hak untuk mengendalikan urusan petroleum negara. Tiada kena-mengena dengan menyerahkan urusan negara kepada pihak asing kerana selama ini kerajaan BN telah menyerahkan urusan telekom, urusan Pantai Holdings bahkan Pulau Batu Putih milik negara pun telah diserahkan kepada Singapura" Fikir-fikirkanlah rakyat Malaysia.... 20080620
Majlis Perasmian Pusat Khidmat DUN Paroi
Akhirnya , AlhamduliLlah majlis perasmian Pusat Khidmat Masyarakat DUN Paroi telah dapat dirasmikan pada 18hb Jun 2008 yang lalu. Pada awalnya majlis ini sepatutnya diadakan pada 26h Mei yang lalu tetapi ditangguhkan ke tarikh yang baru. Majlis disempurnakan oleh YB Sdra Salahudin Ayub , Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang dalam apa jua bentuk untuk menjayakan Pusat Khidmat ini. Semoga Allah membalas dengan sebaik-baik ganjaran.
20080618
PAS...Subur dalam Masyarakat Cina
Semalam , 17hb Jun 2008 telah dijemput menghadiri Majlis Jamuan Makan Malam bersama NGO Cina di Seremban. Kami disambut penuh meriah oleh Jawatankuasa Penganjur dan diberi satu meja khas yang disajikan dengan hidangan makanan muslim. Terima kasih atas layanan penuh mesra. Malam tersebut diadakan kutipan derma khas untuk mangsa gempa bumi di negara Cina. Dakyah tentang PAS yang sekian lama ditanam ke dalam pemikiran masyarakat Cina telah berjaya dirungkai. Hasil usaha dan susah payah semua pejuang PAS khususnya Kelab Penyokong PAS yang diketuai oleh Mr Yau, Mr Kien dan Mr Kenneth Cheok.
20080617
Pokok Gaharu......Projek Masa Depan
Berkesempatan mengikuti rombongan Pesuruhjaya PAS N.Sembilan , Ybhg Sdra Zulkeply Mohamad Hj Omar menjejaki pokok-pokok gaharu di kawasan kebun getah di Rembau. Dengan teknoloji moden yang dibawa oleh pasukan ahli-ahli pakar, boleh menjadikan gaharu itu lebih bernilai. Sesiapa yang berminat, boleh hubungi pusat khidmat.
PAS Rembau Terima Ramai Ahli Baru
Baru-baru ini sewaktu majlis perasmian Mesyuarat Agong PAS Kawasan Rembau, telah diadakan majlis penyerahan sijil keahlian PAS. Sebanyak lebih 20 sijil keahlian telah diserahkan kepada tokoh veteran PAS , Tuan Hj Idris oleh YB Sdra Mohd Nasir , ADUN Kubang Rotan , Kedah Darul Aman. Kempen keahlian PAS perlu ditingkatkan dalam usaha kita menyampaikan mesej Islam kepada seluruh rakyat. Tahniah PAS Kawasan Rembau.
Tan Sri Khalid....Mutiara Rakyat Selangor
Dalam keadaan kenaikan harga minyak baru-baru ini dan sudah pasti disusuli kenaikan barangan keperluan lain, yang terbaru ayam , naik sehingga RM7 - RM8 sekilogram....saya yakin pengumuman tentang air percuma untuk rakyat oleh Kerajaan Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Khalid sudah pasti melegakan semua rakyat Selangor. Tapi kita tertunggu-tunggu apa bentuk tindakan Kerajaan N.Sembilan untuk meringankan bebanan rakyat. Jangan pandai cakap aje...
20080616
Program Bersama Masyarakat India


Pada 15hb Jun 2008 jam 9 malam, diadakan satu program sumbangan kepada yang memerlukan dan majlis anugarah pelajar cemerlang bersama masyarakat India. Terima kasih atas sambutan yang baik dari masyarakat India. Kini, PAS bukan lagi sesuatu yang menakutkan mereka dan PAS semakin di hati mereka. Semoga Allah memberi pertolongan atas segala usaha kerdil kami ini. Terima Kasih pada YB Guna, ADUN Senawang, Pn Norwani , Ketua Dewan Muslimat Rembau , Sdra Hakki, Exco DPP N.Sembilan , Sdra Husaini , Exco DPP Rembau , Sdra Hassan Tambi , Pengarah MTD Paroi dan rakan-rakan yang lain yang hadir bagi memeriahkan program.
Baju Protes....Beli Sambil Menderma

Sdra Shaharudin, Pegawai Khas Pejabat DUN Paroi telah memohon kerjasama Dato' Seri Anwar Ibrahim,YAB Sdra Lim Guan Eng dan Ybhg Tuan Hj Mohd Sabu untuk mempromosi baju "Protes" yang direka khas oleh pasukan pemuda DUN Paroi. Baju ini telah dibuat promosi secara besar-besaran semasa program Pimpinan Bersama Rakyat pada 15h Jun 2008 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. Sebahagian hasil jualan akan disumbang kepada Tabung Dana DUN Paroi. Yang berminat , sila hubungi pejabat DUN
PASTI....Sistem Pendidikan Pra-Sekolah
PAS di bawah Dewan Pemuda telah berjaya membuktikan bahawa kita berupaya mentadbirkan dan menguruskan sistem pendidikan pra-sekolah yang membabitkan hampir 60,000 orang pelajar di seluruh negara . Pada hari Ahad 15hb Jun 2008 telah berlangsung Kejohanan Sukan Bolasepak dan Bola Jaring peringkat Negeri Sembilan membabitkan 6 pasukan dari seluruh N.Sembilan. Acara bolasepak di menangi oleh pasukan dari Telok Kemang dan bola jaring dimenangi oleh pasukan Rembau. Saya bangga dengan institusi PASTI kerana berjaya melatih kanak-kanak seusia 5-6 tahun untuk bermain bolasepak dan bolajaring dengan baik dan mengikut peraturan. Yang lebih penting mereka bermain dengan ikut syariat dan menutup aurat. Tahniah PASTI. Saya yakin PASTI ada peranan dalam meningkatkan mutu pendidikan pra-sekolah di Malaysia dan juga melahirkan bakat baru dalam sukan.
20080614
Penduduk Labu Sendayan Ke Pejabat BPR
20080613
Sunnah Nabi....menziarahi jiran dan orang sakit
AlhamduliLlah...hari ini sempat menziarahi 2 buah keluarga di sekitar Paroi yang mana ketua keluarga berada dalam uzur dan tidak mampu menjalani tugas-tugas sebagai ketua keluarga :-
a) Keluarga Sdra Abu Samah bin Jani , 48 tahun menghidap penyakit ketumbuhan dalam otak. Mempunyai 6 orang anak yang semuanya sedang belajar termasuk 2 orang sedang berada dalam institusi pengajian tinggi. Keluarga ini tinggal di Taman Satria.
b) Keluarga Sdra Ahmad Shahuri bin Mohd Dewa, 54 tahun menghidap penyakit angin ahmar dan sudah terlantar hampir 7 tahun lamanya. Mempunyai seorang anak yang sedang belajar di dalam tingkatan 4 di Sek Men Keb Senawang. Keluarga ini tinggal di Taman Teratai
Sesiapa yang ingin membantu keluarga ini boleh berhubung dengan pihak MTD Paroi di talian 06-6794609 atau 019-6576540. Semoga sumbangan yang diberikan dapat meringankan bebanan yang ditanggung oleh kedua-dua keluarga ini.
Al-Fatihah.....buat Arwah Bonda Sdra Hafiz Sarjono
20080612
Bersama Dato Seri Anwar Ibrahim
Semalam sempat bersama Dato' Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur. Melihat kesungguhan beliau, rakyat yakin akan kepimpinan beliau untuk membawa perubahan kepada seluruh rakyat. Lebih-lebih lagi dalam keadaan rakyat semakin terhimpit dalam isu kenaikan harga minyak. Semoga kerajaan Pakatan Rakyat menjadi kenyataan. Amin...
20080611
Pandangan Tentang Masalah Kenaikan Harga Minyak
Kerajaan yang ada sekarang mengambil pendekatan untuk naikkan harga minyak akibat kenaikan harga minyak dunia. Kenaikan ini akan menyebabkan harga barangan lain akan naik. Dalam keadaan begini, kita tiada pilihan melainkan terpaksa hadapinya. Apa yang boleh kita lakukan :-
a) Amalkan menanam sayur-sayuran di keliling kawasan rumah atau dalam pasu. Kat rumah saya , ada pokok betik, pisang, ubi kayu, daun pandan dan cili padi. Dalam perancangan untuk tanam kangkung, sawi dan lain-lain tanaman daun. Dapat jimatkan perbelanjaan harian.
b) Tukarkan kepada NGV. Modal untuk tukar adalah tinggi, ada cadangan supaya dipermudahkan untuk keluarkan EPF akaun 2 sebagai modal tukar kepada NGV. Sudah cadang kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat supaya bawa perkara ini ke parlimen atau kepada PM secepat mungkin.
c) Petronas atau Kementerian Tenaga sepatutnya sudah buat kajian dari dahulu lagi untuk cari bahan tenaga alternatif. Tenaga suria ke , apa perkembangan projek bio-diesel dan lain-lain. Saya ada kawan yang telah berjaya cipta motor yang guna air yang dicampurkan dengan petrol sebagai bahan api. Jika projek ini berjaya, insya Allah akan ada manafaatnya untuk semua. Doakan kejayaan projek ini.
d) Selalulah berdoa kepada Allah, mudah-mudahan Allah lepaskan kita dari cubaan yang berat ini.
20080610
Dari Muar ke Paroi...
Baru-baru ini, telah diadakan Ceramah khusus untuk masyarakat India di Bandar Seremban Selatan bersama Cik Kumutha , bekas Calon DUN Tiram,Johor dari Kelab Penyokong PAS Johor yang bertanding atas tiket PKR. Yang menariknya, ada seorang pakcik yang buta matanya dan berbangsa India, berumur awal 70-an datang dari Muar menaiki teksi ke Paroi semata-mata untuk hadir ceramah tersebut. Tahniah!! Saya amat kagum dengan kesungguhan insan yang buta ini. Semoga Allah memberi petunjuk kepada beliau.
20080609
Kejadian Tanah Runtuh....Rakyat Resah
Semalam, Ahad 8hb June, sewaktu menghadiri majlis kenduri perkahwinan di Taman Tuanku Jaafar, saya dihubungi oleh wakil penduduk kawasan perumahan berhampiran , Dr Azmi Majid yang memaklumkan kejadian tanah runtuh yang berlaku di kediaman mereka. Mereka sangat bimbang kerana ia berlaku terlalu dekat dengan kawasan kediaman mereka. Kami telah menghubungi pihak pemaju dan pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. Liputan akhbar harian juga dilakukan, terima kasih kepada semua wartawan yang hadir. Antara yang paling awal sampai adalah Skuad Cakna dari akhbar Sinar Harian, tahniah atas keperihatinan anda. Saya berjanji untuk menghubungi pihak MPN hari ini dan alhamduLillah , pihak MPN telahpun menghantar pasukan mereka. Berita lanjut boleh anda perolehi melalui akhbar Sinar Harian. Kosmo, Sin Chew, China Press dan Nanyang.
20080606
Orang Cina pun sudah baca Sinar Harian
Jambori Unit Amal Pusat di Sayong, Perak
Saya bersama anak Muda
Baru-baru bersama hampir 30 orang anak muda di sekitar Paroi, saya, YB Amin, Adun Sikamat dan YB Guna, Adun Senawang telah mengadakan pertemuan hati ke hati untuk mengetahui apa yang anak muda mahu dan harapan mereka. Segala maklumat yang diberikan sangat penting untuk kami semua bagi melakukan perancangan aktiviti-aktiviti untuk semua anak muda di Paroi, Sikamat, Ampangan dan Senawang. Mudah-mudahan akan ada perubahan bagi semua anak muda di N.Sembilan.
Bantahan Harga Minyak Naik
20080605
Menyelami Masalah Rakyat Akibat Harga Minyak Naik
Dalam kesibukan orang ramai mengisi minyak petrol di saat-saat akhir sebelum kenaikan harga minyak semalam, wakil rakyat Pakatan Rakyat sempat turun di stesen minyak di Taman Matahari Height. Rata-rata marah dengan tindakan kerajaan BN. Saya mengedarkan Buletin Purnama yang kebetulan ada artikel Panduan Penjimatan Petrol Untuk Kenderaan , orang ramai boleh rujuk buletin tersebut, mudah-mudahan boleh membantu.
20080604
Pertemukan Insan Istimewa Dengan Keluarga
AlhamduliLlah, hasil tindakan pantas seorang penduduk Taman Tasik Jaya yang juga jemaah surau Taman Tasik Jaya, Sdra Azhar bin Abdul Razak telah menyelamatkan seorang insan istimewa berbangsa Cina , Sdra Ming, berumur awal 30an dari hilang jauh. Dalam perjalanan pulang setelah bekerja malam , lebih kurang jam 8:30 pagi , Sdra Azhar telah bertemu dengan Sdra Ming yang sedang berada di tepi longkang besar berhampiran Kedai Buah-buahan Bimbingan FAMA, lantas beliau membawa Sdra Ming ke balai polis Paroi menggunakan van kawan beliau. Akhirnya setelah berada hampir 3 jam di Balai Polis , keluarga beliau kebetulan datang untuk membuat laporan polis dan akhirnya dapat bertemu Sdra Ming. Terima kasih pada Sdra Azhar dan pihak Balai Polis Paroi. Contoh terbaik dari rakyat Paroi untuk diteladani.
20080602
Salah satu Punca Demam Denggi
Semasa lawatan rumah ke rumah di sekitar Taman Tasik Jaya, kami mendapat ada longkang-longkang di sekitar taman yang dipenuhi sampah, timbunan tanah dan rumput-rumput yang telah tumbuh. Ini menyebabkan ada air yang bertakung dan boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Tindakan susulan akan dilakukan dalam kadar segera, Insya'Allah.
Lawatan Ke Pasar Malam Senawang Jaya
Ahad 1hb Jun 2008, pergi melawat ke Pasar Malam Taman Senawang Jaya. Bertemu para pengunjung pasar malam dan berbincang dengan pihak pengurusan iaitu Urusetia Pasar Malam Taman Senawang Jaya. Para petugas DUN Paroi turut mengedarkan Buletin Purnama N9 kepada semua pengunjung tanpa mengira bangsa dan agama. Buletin boleh menyatukan rakyat Paroi.
Sinar Harian Edisi NS & Melaka Keluaran Sulung


Kini lahir media alternatif baru untuk rakyat N.Sembilan. Saya merasakan Sinar Harian amat terbuka dalam pemberitaan mereka kerana Sinar Harian memberi ruang kepada semua parti politik dalam menyampaikan berita dan maklumat aktiviti mereka. Tahniah kepada akhbar Sinar semoga terus bersinar dan mendapat sokongan daripada seluruh rakyat. Dalam keluaran pertama ini, DUN Paroi diberi peluang membuat promosi tentang Buletin Purnama N9. Terima kasih sinar.
Mahkamah Tinggi Seremban Dengar Bantahan KJ
Gambar 1 - Bersama Peguam KJ - Datuk Shafee
Gambar 2 - Bersama Peguam Chegu Bard - Robert Lazar
Hari ini Isnin 2hb Jun 2008 pergi ke Mahkamah Tinggi Seremban, untuk memberi sokongan kepada Chegu Bard dalam kes petisyen Pilihanraya bagi P131 Parlimen Rembau. Hampir 50 orang penyokong Pakatan Rakyat hadir untuk menyatakan sokongan. Keputusan samada petisyen ini diterima atau ditolak akan didengar pada hari Rabu 4hb Jun 2008. Sama-sama kita solat hajat doakan semoga kes ini berjaya.
20080601
Menghadiri Majlis Perkahwinan Pimpinan Pelajar UKM
Pusat Khidmat dikunjungi Skuad Cakna akhbar Sinar
Akhbar Sinar Harian edisi Melaka dan N.Sembilan akan berada di pasaran mulai esok Isnin 2 Jun 2008.Ia akan diedarkan secara percuma selama 2 hari di seluruh N.Sembilan. Pagi ini pusat khidmat DUN Paroi telah dikunjungi oleh wartawan Sinar dari Skuad Cakna Sinar bagi berbincang tentang peranan Sinar Harian dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan adil kepada seluruh rakyat. Sinar Harian bakal menjadi surat khabar alternatif kepada rakyat. Selamat Membaca dan Menilai.
Langgan:
Catatan (Atom)
