JEJAK UKHUWWAH

JEJAK UKHUWWAH

20080530

Sekampit Beras Sekilo Gula


Ada pasangan suami isteri dari Taman Desa Melor telah menyumbang 10 bungkusan yang mengandungi sekampit beras, sekilo gula pasir, sebungkus garam dan sebungkus bihun untuk disumbangkan pada keluarga susah yang datang ke pejabat ADUN Paroi. Hari ini kita telah sumbangkan pada penerima yang pertama dari taman di sekitar DUN Paroi. Diceritakan ada masanya mereka sekeluarga hanya makan roti kosong atau bubur kosong sebagai makanan malam. Terima kasih pada penyumbang.

Purnama N9 di mana-mana


Baru-baru mengunjungi sebuah hospital di Seremban, ada pelawat dan pesakit sedang asyik membaca buletin Paroi ini. Cadangan saya jika saudara-saudari telah selesai membaca, panjang-panjangkan buletin pada kawan, teman sekerja atau jiran-jiran. Kalau ada komen, cadangan atau artikel yang sesuai jangan lupa emel atau hantar melalui blog ini. Ruangan iklan produk atau perkhidmatan anda juga boleh dimasukkan dalam buletin ini, edarannya juga akan mencecah 5,000 naskah dalam masa terdekat ini.

Betul atau Lukisan?



Jangan lupa kalau ke Alor Star , singgahlah ke Muzium Padi yang sesuai untuk dikunjungi sebagai sumber maklumat kepada anak-anak kita dan pelajar-pelajar sekolah. Hari ini ramai generasi muda di Negeri Sembilan tak kenal pokok padi kerana sawah padi tidak banyak lagi diusahakan. Di Negeri Sembilan , antara kawasan sawah padi yang masih diusahakan adalah di Kg Sg Buluh, Simpang Durian dan Kg Lonek , Bahau. Saya cadangkan di kawasan sawah padi ini dibina Muzium Padi seperti mana di Alor Setar, Kedah. Sebagai satu daya tarikan pelancongan, memang cantik sepertimana dalam gambar yang tertera itu, ia adalah satu sudut dalam muzium di mana pengunjung akan duduk atas kerusi dan berpusing mengelilingi gambaran satu lukisan indah sebuah perkampungan sawah padi.

20080528

Pasukan Paroi FC Lawan Pasukan Radhi Mat Din


Semasa lawatan ke Kedah baru-baru ini, pasukan bolasepak anak muda Senawang Jaya yang bersama-sama rombongan kami telah berpeluang bermain dengan pasukan yang dibimbing oleh Radhi Mat Din , pasukan Pemuda Kedah. Keputusan seri 0-0, saya pun kena main jugak walaupun tak pandai main. Tahniah pada pasukan Senawang Jaya yang dipimpin oleh Penghulu Zain

Projek Gerai di Taman Tuanku Jaafar Tidak Digunakan



Saya sempat melawat projek gerai untuk peniaga makanan dan minuman di Taman Tuanku Jaafar berhampiran tapak pasar malam. Projek telah siap tapi tidak dimanafaatkan sekian lamanya. Kenapa peniaga tak mahu berpindah? Apa masalahnya? Rekabentuk gerai ini dan lokasinya yang agak terlalu jauh ke dalam mungkin kurang sesuai untuk peniaga makanan dan minuman. Akhirnya tempat ini jadi tempat anak-anak muda termasuk budak sekolah melepak dan mungkin terlibat dengan kegiatan tidak sihat.Banyak kerosakan berlaku kepada binaan ini, sudah tentu melibatkan kerugian yang besar. Laporan akan dibuat pada pihak yang berkenaan secepat mungkin.

Buletin Purnama N9 sudah menemui masyarakat Paroi



Buletin Paroi yang diberi nama "Purnama N9" telah dilancarkan oleh Pesuruhjaya PAS N.Sembilan pada 26hb Mei 2008 yang lalu. Pada 27hb Mei 2008, kami telah turun ke Pasar Malam Taman Tuanku Jaafar untuk bertemu penduduk TTJ bertanya khabar sambil mengedarkan buletin Paroi. Kepada semua pembaca yang mungkin tiada akses internet, buletin Paroi boleh berperanan menjadi penghubung antara ADUN Paroi dan masyarakat. Selamat Membaca kepada semua.

20080526

Menziarahi Pusara Bekas Presiden PAS..Al-Marhum Dato' Fadzil Nor


Mengingati Mati adalah amalan yang disuruh oleh Nabi Muhammad SAW. Baru-baru ini berpeluang menziarahi Pusara Al-Marhum Dato' Fadzil Nor...pahit getir perjuangan ini telah kau buktikan sepanjang hayat mu...Al-marhum telah akhiri hayatnya dalam perjuangan..Al-fatihah

Bersama Kepimpinan Kerajaan Kedah Darul Aman




Baru-baru rombongan MTD Paroi telah melawat negeri Kedah Darul Aman, kami sempat bertemu beberapa kepimpinan Kerajaan Negeri Kedah. Antaranya, 2 orang exco Kerajaan Negeri Kedah iaitu senior saya di MRSM Seremban , YB Ir Amirudin Hamzah dan YB Ir Hj Pahrolrazi Hj Zawawi. Juga sempat bertemu dengan Setiausaha Politik YAB Menteri Besar Kedah , Ybhg Sdra Sanusi. Saya doakan kalian berjaya tunaikan amanah yang berat ini.

MB N.Sembilan respons cadangan ADUN Paroi


Dalam sidang DUN N.Sembilan yang pertama pada 28 dan 29hb April yang lalu, saya ada membangkitkan soalan berkaitan perlunya kerajaan N.Sembilan mengkaji semula had garis kemiskinan yang mana pada masa ini keluarga yang yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang dari RM350 sahaja yang layak dikategorikan sebagai kemiskinan tegar dan layak menerima bantuan kerajaan. (Boleh rujuk blog saya tulisan pada 29hb April atau "hansard" Sidang DUN bila ia dikeluarkan nanti). Hari ini dalam surak khabar Berita Harian dalam ruangan Sentral mukasurat B8, YAB Menteri Besar N.Sembilan bersetuju untuk mengkaji semula had garis kemiskinan. AlhamduliLlah , ianya amat perlu disegerakan lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga beras dan barangan keperluan dapur. Ini salah satu kebaikan bila ada ADUN Pakatan Rakyat dalam sidang DUN, ada "check and balance".

20080521

Program PhD terus dapat sokongan

Yang menerima


Yang menerima
Yang menyumbang

Program Hamper Dermawan (PhD) terus dapat sokongan masyarakat setempat. Sebanyak tiga hamper telah berjaya kita sampaikan pada yang memerlukan dan kita telah menerima pulak sumbangan hamper yang baru dari teman-teman. Mereka sudah menyumbang....anda bila lagi?

Kg Tengkek,Batu Kikir....Kesedaran Politik Melayu Meningkat





Analisa PRU yang ke 12 menunjukkan kelompok pengundi Melayu antara kelompok pengundi yang agak sukar untuk berubah berbanding dengan pengundi Cina dan India. Tapi masyarakat Melayu di Kg Tengkek , Batu Kikir telah menunjukkan perubahan yang positif apabila ramai yang turun hadir ke program ceramah isu semasa di sana baru-baru ini. Syukur sebab banyak kenangan di sana...(a) Berbual dengan penduduk kg di Masjid Kampung (b) Bertemu dengan kawan sekerja masa di Samsung dulu (c) Menziarahi warga emas yang dijaga oleh anak yang sanggup berhenti kerja demi ibu yang dikasihi ...satu contoh terbaik sempena Hari Ibu

20080520

Orang NS Bakal Pengerusi GERAK Malaysia


Tahniah kepada orang NS sebab anak jati NS akan jadi Pengerusi GERAK Malaysia yang baru. Semoga N.Sembilan akan jadi negeri pertama ZERO RASUAH. Ke mana Ezam selepas ini? Jangan masuk UMNO cukup, sebab semua orang dah ikut Dr M tinggalkan UMNO.....

Program PHD di Pusat Khidmat DUN Paroi


Pihak Pusat Khidmat akan melancarkan satu program yang dipanggil Program PHD. Mr Yau Con Seng merupakan orang pertama yang berjaya dalam program PHD. Kena panggil Dr Yau ke? Bukan begitu maksudnya, Mr Yau telah menyumbang hamper bagi menyertai Program Hamper Dermawan (PHD) yang mana hamper-hamper yang disumbangkan akan digunakan bagi dijadikan sumbangan ketika menziarahi warga emas , anak yatim dan orang sakit di hospital. Anda semua dirayu untuk menyertai program ini dengan menyumbang hamper yang bernilai RM20-Rm30 dan pastikan semua barangan yang dijadikan hamper ada logo halal JAKIM dan hantar ke pejabat DUN Paroi. Mudah aje...BERSAMA MENJAYAKAN PROGRAM DUN PAROI

20080519

Sikap Golongan Yang Terdesak


Saya ingin melahirkan rasa kekesalan yang tinggi terhadap sesetengah golongan pemimpin yang masih mempunyai pemikiran politik yang sempit sehingga sanggup menanamkan sentimen perkauman kepada remaja yang masih belum matang dan masih bersekolah.

Hari ini , Isnin 19hb Mei, pejabat Khidmat DUN Paroi didatangi remaja yang menyerahkan 3 keping risalah yang bersifat perkauman, yang cuba menanam perasaan perkauman antara rakyat Malaysia. Golongan seperti ini sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kembali sokongan rakyat walaupun rakyat telah memberi isyarat menolak mereka.


Satu laporan polis akan dibuat esok, insya Allah.

Selamat Hari Guru



Hari Isnin 19hb Mei 2008 bersama hampir 70 orang guru PASTI seluruh N.Sembilan merayakan sambutan Hari Guru peringkat N.Sembilan. Turut diadakan pertandingan Gubahan , rekacipta Bahan Bantuan Mengajar dan lain-lain pertandingan untuk memeriahkan sambutan tersebut. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan "SELAMAT HARI GURU" kepada seluruh warga pendidik khususnya Guru-guru PASTI diseluruh negara, tanpa bimbingan kalian tidak akan lahir seorang doktor, seorang ushawan hatta seorang PM pun. Semoga Allah merahmati kalian. Tak lupa juga kepada seluruh guru-guru yang pernah mendidik saya , Cikgu Zahrah masa di Tadika Kemas Gedung Lalang 162 , Cikgu Hairiah masa di darjah 6 Krim di SRK KGV , Cikgu Hj Yasir , Gurubesar di SRK KGV, Cikgu Siti Rohani di MRSM Seremban , Dr Jailani Salihon di UKM dan semua guru yang tidak dapat saya sebutkan nama mereka satu persatu.

Serius Bersama YB Ahli Parlimen Kuala Selangor


Pada hari Ahad 18hb Mei 2008, diadakan perbincangan bersama dengan Dr Zulkepli Ahmad bagi menyusun gerakerja di DUN Paroi. Banyak idea dan saranan yang dikemukakan. Juga berkongsi pengalaman Dr Zul menyusun gerakerja Pilihanraya dalam masa 2 hari sebelum diisytiharkan sebagai calon PAS di Parlimen Kuala Selangor. Semoga berjaya menunaikan amanah yang berat ini. (Baju yang saya pakai tu adalah baju Muslimun United - rekaan terbaru Syarikat Bestari, boleh dapatkan di Pejabat DUN Paroi dengan harga istimewa, Membeli sambil menderma)

20080517

Selepas 50 tahun Merdeka...masih ada yang guna air perigi



Tak pernah terduga setelah 50 tahun merdeka dan setelah negara dicanang sebagai bakal negara maju pada tahun 2020 , masih ada keluarga di negara kita yang masih guna air perigi yang keruh warnanya dan tidak begitu terjamin kebersihannya. Inilah berlaku kepada keluarga Makcik Mariam yang tinggal bersama 4 orang cucunya yang masih bersekolah di Kg Sentosa. Sekadar memberi sedikit sumbangan, sesuatu perlu difikirkan untuk membantu keluarga ini.

Program Anak Muda


Hari Sabtu antara hari yang paling sibuk , Unit Amal N.Sembilan mengadakan Jambori selama 2 hari bermula Sabtu dan dijangka tamat hari Ahad. Berjaya himpunkan hampir 130 orang peserta dan ianya sebagai persediaan sebelum Ke Jambori Pusat di Perak pada akhir bulan Mei ini nanti.

Dewan Pemuda PAS beri alternatif pendidikan Pra Sekolah


PASTI adalah sistem pendidikan Pra Sekolah yang dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS di seluruh Malaysia. Di N.Sembilan , sambutan kepada PASTI amat baik dan kita ada hampir 1000 orang pelajar. Terbaru, saya rasmikan PASTI Al-Mumtaz di Kawasan Rasah yang telah menarik minat hampir 25 orang pelajar. Semoga pendidikan yang seimbang antara dunia dan akhirat akan dapat lahirkan warganegara yang berguna pada agama, bangsa dan negara.

Sepagi bersama ibu ayah di PAROI


Hari Sabtu 17hb Mei adalah antara hari-hari yang bahagia buat saya kerana dapat bersama dengan hampir 70 orang warga emas yang saya anggap sebagai ibu dan ayah saya di DUN Paroi ini. Sepagi bersama ibu dan ayah akan memberi semangat kepada saya untuk terus berkhidmat di DUN Paroi ini. Semoga sedikit sumbangan akan dapat membahagiakan kalian...

20080516

YAB MB Perak simple je..


Hari tu kebetulan pergi ke Ipoh untuk urusan Pemuda dan Unit Amal. Kawan-kawan ajak singgah rumah MB dan kebetulan dia ada ruang masa untuk berbincang walaupun jadualnya padat, dapatlah jugak jumpa MB. Saya siap pakai baju batek, ingat-ingat nak jaga protokol. Masuk-masuk ruang tamu, tengok Dato' Seri Nizar pakai t-shirt dan kain pelekat aje, simpoi..kata anak-anak muda.

Terpandang almari hiasan yang ada dalam ruang tamu, semua raknya kosong. Kena angkut lah agaknya. Siapalah yang ambik....waAllahu'alam.

Pahala Besar Menanti








Kata Nabi SAW yang maksudnya "Bila meninggalnya seorang anak Adam itu maka terputuslah segala amalannya melainkan 3 perkara :

a) Sedekah Jariah
b) Ilmu yang bermanafaat yang diajarkan
c) Doa Anak yang Soleh


Pada hari Rabu yang lepas , nak pergi Gemencheh untuk ceramah, ambik kawan di Taman Jasmin, sampai di sana Azan Maghrib berkumandang, terus singgah di Surau Taman Jasmin untuk berjemaah. AlhamduliLlah, akhirnya surau ini dapat juga digunakan untuk bersolat sejak diusahakan pembinaannya 2 bulan yang lalu. Tahniah pada yang telah bekerja bersungguh-sungguh menyiapkannya, mudah-mudahan ianya diterima sebagai sedekah jariah, selagi mana orang solat di surau selagi itu pahala berpanjangan. Walaupun masih ada yang belum siap ; tandas , ruang solat Muslimat dan longkang di sekeliling surau ini.


Kepada sesiapa yang ingin menyumbang untuk menyiapkan surau ini bolehlah menyumbang kepada :

Akaun Simpanan Bank Rakyat atas nama "SURAU TAMAN JASMIN"

No akaun : 220211263990

Semoga Allah murahkan rezeki kalian semua.

20080514

Pancing atau Ikan?


Pepatah Cina ada berkata "Kalau diberi ikan, sebuah keluarga yang susah akan dapat makan untuk sehari tapi jika diberi pancing, Insya'Allah (catatan tambahan penulis) keluarga tersebut akan dapat makan untuk jangkamasa yang lebih lama"


Walaupun begitu, pihak Pusat Khidmat DUN Paroi ada menerima sumbangan dari masyarakat untuk disalurkan kepada yang memerlukan. Semoga Allah membalas jasa baik dan sumbangan semua pihak. 10 buah keluarga terpilih di Flat Seri Perdana Paroi telah menerima sumbangan tersebut.

AlhamduliLlah..ramai yang membantu


AlhamduliLlah...sejak tersiar berita keluarga tabah di Felda Raja Alias 4 dalam blog saya pada 9hb Mei yang lalu dan sejak mendapat liputan TV9 juga akhbar harian pada 11hb Mei...dan hari ini 14hb Mei tersiar dalam Kosmo, ramai yang telah menziarahi keluarga ini termasuk wakil-wakil Jabatan Kerajaan. Semoga segala bantuan yang datang dapat meringankan kesusahan yang dialami oleh keluarga En Abu Noh Mohd Isa.

20080513

Memorandum Bantah Pesta Liar Port Dickson


Jam 11 pagi, rombongan PAS N.Sembilan yang diketuai Sdra Zulkeply Mohd Omar, Pesuruhjaya PAS N.Sembilan telah menghantar Memorandum Bantahan Pesta Liar Port Dickson kepada YAB Menteri Besar N.Sembilan. Memorandum diterima oleh En Mokhtar Hj Alias , Setiausaha Akhbar Menteri Besar N.Sembilan. PAS N.Sembilan melahirkan rasa kekesalan yang amat sangat di atas kegagalan pihak berkuasa khususnya pihak MB sendiri kerana GAGAL memastikan pesta liar seperti ini tidak berulang. Pesta yang hampir sama pernah berlaku di pantai Port Dickson pada sekitar tahun 2006.

20080511

Paroi United Belasah MU 2-0


Dah lama rasanya tak main bolasepak...disamping takde maso , satu lagi tak berapo pandai main, setakat dengan kawan-kawan bolehlah. Hari Sabtu yang lepas, dalam satu program , kami dapat peluang bermain dengan sahabat-sahabat. Yang hebat antaranya Ust Riduan, Ust Norazli, Ust Solihin, Adly,Sabki, ....Ust Nik dan YB Zaki pun boleh tahan jugak..meriah sungguh pagi tu...teringat Hadis Nabi yang maksudnya "Mukmin yang kuat lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah".


Terima Kasih Semua


AlhamduliLlah Adik Khairul Ikhwan dah selamat menjalani pembedahan membuang tumor yang ada di kepalanya. Terima Kasih pada semua yang sudi membantu. Adik Khairul masih memerlukan bantuan untuk jalani rawatan susulan. Semoga jasa baik tuan akan dinilai oleh Allah SWT.

20080509

Bersama-sama bakal "Ahli-ahli Syurga"..Insya Allah



Assalammualaikum WBT,


Semalam, hati kecil ini tiba-tiba jadi sebak dan sayu sekali.


Seperti malam-malam yang lain, semalam saya berceramah untuk bantu kutip dana Unit Amal NS di Batu Kikir. Penganjur mintak saya datang awal untuk buat lawatan ke beberapa buah rumah di Felda Serting 4. Sikap penganjur seperti ini memang saya setuju sangat.


Jam 815 malam sampai di Masjid Bandar Baru Serting, Ketua Pemuda Jempol membawa rombongan kami ke sebuah rumah peneroka di Felda Serting 4. Rumah yang sederhana besar itu didiami oleh sebuah keluarga yang ada 3 orang anak kurang upaya yang menghidap penyakit
"Cerebral Palsy" yang menyebabkan anak-anak ini tidak dapat melihat, tidak ada upaya mengurus diri sendiri hinggakan makan-minum pun perlu disuap. Ketua keluarga , En Abu Noh bin Md Isa dan isteri Puan Anisah Ahmad begitu tabah dan sabar melayani segala keperluan anak-anak ini , Mohd Sufian (27 thn) , Nasir (26 tahun) dan NorHanis (4 tahun). Anak-anak ini menghidap penyakit ini sejak berumur 8 bulan lagi. Bayangkan saudara..kesabaran keluarga ini.


Tidak ada mata yang tidak akan menangis melihat ketabahan dan kesabaran keluarga ini menjaga anak-anak "ahli syurga" itu. Bukan sehari dua , bukan seminggu dua, bukan sebulan dua bahkan sudah 26 tahun mereka mengorbankan segala apa yang mereka ada untuk membesarkan anak-anak yang istimewa itu. Sungguh istimewa kerana mereka bakal menghuni syurga Allah SWT....mudah-mudahan anak-anak yang tidak pernah melakukan dosa ini akan membawa bersama kedua orang ibubapa mereka ke dalam syurga Allah SWT.


Menyaksikan semua ini , jadikan hati ini benar-benar bersyukur atas segala kurniaan Allah. Hadir sama dalam malam yang sungguh bermakna ini adalah sahabat baik yang kini merupakan seorang doktor pakar di hospital swasta, Dr Kamal, bertemu setelah 18 tahun membawa haluan masing-masing.


Sesiapa yang ingin membantu keluarga ini....untuk lampin pakai buang sahaja , mereka belanjakan hampir RM300 sebulan. Bantuan yang diterima untuk 3 orang anak ini adalah berjumlah RM140 sahaja sebulan. Hubungi SU PAS Kawasan Jempol Sdra Zukri 013-6951387

20080508

Memikir Penyelesaian Masalah Adik-adik di DUN Paroi


Malam minggu yang lalu, saya bersama 3 orang teman-teman seperjuangan minum di sebuah kedai di Taman Matahari Heights. Tujuan lain adalah untuk melihat dulu suasana dan keletah adik-adik yang seronok bermain motor ketika itu.Istilah yang sering kita gunakan "Mat Rempit". Jam sudah menunjukkan pukul 4 pagi. Mereka masih aktif seolah-olah malam baru bermula, padahal malam sudah hampir melabuhkan tirainya.


Macam-macam aksi menunggang motor mereka pamerkan di sepanjang jalan lurus dari Tasik Jaya ke Taman Seri Pagi. Saya mohon pandangan semua pihak dalam memberikan idea untuk kita sama-sama memastikan semua adik-adik kita ini kembali sedar kesilapan mereka dan bersama membina masa depan diri, agama dan negara. Buat peringkat awal, saya berhasrat supaya kempen "Saya Benci Merempit" dapat dijalankan di peringkat sekolah supaya kita dapat menyekat lahirnya tunas-tunas baru dalam aktiviti tidak sihat dan merbahaya ini.


Dari pemerhatian, saya yakin mereka yang terlibat dalam aktiviti merempit di Litar Seri Pagi dalam DUN Paroi ini, sebahagian besar datang dari luar Paroi. Walaubagaimanapun, ia tetap masalah kepada penduduk-penduduk yang berhampiran dengan bunyi bising yang mengganggu tidur dan juga masalah keselamatan kepada pengguna-pengguna jalanraya yang lain.


Pastikan diri kita, anak-anak kita , anak-anak jiran kita dan sesiapa sahaja yang kita kenali menjauhi budaya yang tidak sihat ini. Selamat Berusaha...

20080507

Solat Hajat Serentak


AlhamduliLlah , adik Khairul Ikhwan telah disahkan oleh KPJ untuk membuat pembedahan pada 8hb Mei 2008 jam 8:30 pagi. Walaupun jumlah dana yang terkumpul untuk menampung kos pembedahan masih belum mencukupi tapi atas kerjasama KPJ dan jaminan oleh pihak tertentu , pembedahan dapat diteruskan pada tarikh yang dipersetujui.


Kami merayu pada semua pihak supaya terus memberikan sumbangan dan berusaha mendapatkan sumbangan dari pihak yang bermurah hati untuk membantu. Disamping kos pembedahan ,perbelanjaan tambahan diperlukan untuk rawatan susulan. (No Akaun BIMB 05012010063902)


Pada hari esok, Rabu 7hb Mei, solat hajat serentak di seluruh N.Sembilan akan diadakan selepas solat Maghrib untuk kita sama-sama berdoa mudah-mudahan pembedahan ini berjaya dan Adik Ikhwan akan kembali normal , ceria dan akan meneruskan persekolahan yang sudah tertangguh hampir sebulan lamanya. Ya Allah! Bantulah kami semua dan permudahkanlah segala urusan kami. Amin....

20080506

Jimat RM22,500


Tertarik untuk komen pasal baju istiadat (no 1 dress) yang digunakan sebagai baju rasmi di Parlimen dan semua DUN di Malaysia. YB Zulkifli Nordin ada komen dalam blog beliau.
Kami, ahli-ahli YB Pakatan Rakyat dalam DUN N.Sembilan sepakat tidak tempah baju tersebut (No 1). Walaubagaimanapun, kami telah mintak nasihat dari SU Dewan, adakah kami boleh pakai baju lain selain baju No 1 tersebut. Beliau kata boleh , maka YB dari DAP pakai pakaian barat dan saya, YB Amin dan YB Cikgu Rashid pakai baju Melayu Hitam.

Jadi kami telah jimatkan RM22,500 dan kami peruntukan penjimatan ini untuk rakyat miskin di N.Sembilan. Harap kerajaan N.Sembilan akan tunaikan hajat kami.

Berikut adalah senarai harga baju parlimen terbabit yang disiarkan dalam blog YB Zulkifli Nordin (dan mungkin ini juga list yang sama untuk DUN) :-
1.- Baju RM 450
2.- Seluar RM 250
3.- Songkok RM 120
4.- Appollette/Geogette RM 600
5.- Butang RM 80

Jumlah RM1500

20080504

Pertemuan dengan NGO Cina Seremban


Semalam jam 12:45 tengahari diadakan pertemuan dengan NGO Cina iaitu N.S. Che Sim Khor Moral Uplifting Society Seremban. NGO ini berperanan membantu mereka yang memerlukan khususnya berkaitan perubatan Cina. Telah ditubuhkan sejak tahun 1960 iaitu hampir 48 tahun. Bangunannya di Seremban dirasmikan oleh YAB Tun Abd Razak , ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Semoga pertemuan ini merapatkan hubungan PAS dengan masyarakat bukan Islam.

Tragedi Keretapi di Kg Baru Rahang

Bersalaman dengan YB SUK , Dato' Hj Norzam bin Mohd.Nor

Bersama dengan para penumpang yang terkandas hampir 2 jam

Jam 4:50 petang, terima panggilan dari Sdra Ismail , sahabat yang bekerja di KTM Sban bahawa ada tragedi keretapi tergelincir di KM465 Butterworth - Singapura berhampiran Kg Baru Rahang.

Bergegas ke tempat kejadian bersama YB Aminudin, ADUN Sikamat. Tiba di tempat kejadian jam 5:30 petang. Lewat sikit sebab mula-mula ikut Taman Seri Mawar , orang kata jalan Rahang "Jammed" akibat kemalangan ini.

Kami batalkan usaha pergi ke tempat kejadian melalui jalan belukar di Taman Sri Mawar kerana jalan berpaya dan ramai orang. Akhirnya guna Jalan Rahang melalui Seremban Garden, ada road block oleh pihak polis, Kudin yang bawa kereta kata " Saya bawa 2 orang YB nak ke tempat kejadian". Terima kasih kepada pihak polis kerana benarkan kami ke sana.

Sampai di tempat kejadian , orang dah terlalu ramai di tepi tebing sungai melihat gerabak-gerabak keretapi yang tergelincir merintangi sungai yang tak berapa dalam airnya itu. Masya' Allah , inilah ketentuan Allah, bak pepatah Melayu " malang tak berbau" , rel keretapi yang lurus dan tiada kenderaan dari hadapan yang mengganggu pun boleh terjadi kemalangan. Tanya pada pekerja-pekerja KTM, apa punca kemalangan, mereka pun tak tahu apa jawapannya.

Saya memerhati ke sekeliling tempat kejadian. Tak jauh dari tempat kejadian, ada projek besar membuat jalanraya merentasi sungai yang dipanggil Projek Pembesaran Jalan Seremban-Senawang. Banyak jentera besar yang terlibat dan banyak tiang-tiang besar dibina menunjangi bumi , terdetik di hati saya , adakah struktur tanah menjadi semakin tidak kuat atas sebab-sebab kerja-kerja pembangunan sekitar tempat kejadian. Pihak berkuasa melalui pembentukan Jawatankuasa Bertindak Khas mesti menyiasat perkara ini.

Saya terpandang pula keadaan rel keretapi tersebut, adakah punca kejadian ini sama dengan kes menara TNB yang runtuh baru-baru ini. Melihat kepada keadaan kayu-kayu yang seakan-akan reput yang menjadi asas rel keretapi ini, saya jadi gerun. Siasatan segera perlu dilaksanakan. Mudah-mudahan kejadian seumpama ini tidak akan berulang di masa hadapan.

Ramai jugak ADUN-ADUN DAP yang dah turun termasuk Ketua Pembangkang , YB Loke ADUN Lobak. Ada lebih kurang 7 orang ADUN Pakatan rakyat yang ada di tempat kejadian termasuk saya dan YB Amin. BN hanya diwakili oleh ADUN Chennah YB Tuan Siow. Kemudian terserempak dengan Ybhg Dato' Norzam , SUK yang baru sampai. Mana wakil rakyat UMNO yang lain dan YAB MB, tak dtg ke?? Jam sudah menunjukkan jam 6:30 petang

Diberitakan bahawa pemandu keretapi ini telah meninggal dunia. Namanya Allahyarham Sdra Yahya bin Osman dan beliau merupakan abang kepada Sdra Mohd Ali Osman , aktivis PAS di Seremban. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh nya. Al-Fatihah.

Sebelum balik, kami singgah di Bilik Mayat , Hospital Tuanku Jaafar dan sempat bertemu dgn Sdra Ali dan anak ke 2 kepada arwah yang telah sampai ke Seremban. Semoga Allah memberi ketabahan kepada keluarga ini. Amin.

20080503

Pengalaman yang sangat menyentuh hati

Sebaik selesai ceramah malam tadi di Telok Mas, Melaka seperti biasa ramai yang datang bersalam. Selepas itu saya pergi minum bersama pihak penganjur di ruang madrasah. Selepas kira-kira 20 minit, saya minta izin untuk beredar pulang. Di perkarangan madrasah, tempat ceramah malam tu, kelihatan seorang anak muda sedang menunggu saya di atas motosikal kapcainya. Seorang anak muda baru berusia menghampiri 20 puluh tahun dan masih belajar katanya. Kalau tak silap saya,namanya Zuddin. Beliau bersalam sambil mencium tangan saya, begitu tertib anak muda ini, terasa malu dan janggal diraikan begitu sekali. Zuddin kata dia selalu melayari blog saya dan kata ia bagus sebab blog saya selalu di update. Terima kasih Zuddin, ada juga rupanya orang Melaka yang mengunjungi blog saya.

Di Akhir pertemuan, kami bersalam lagi dan terus beralih duit RM50 dari tangan beliau ke tangan saya. Katanya untuk bantu DUN Paroi. Masya 'Allah anak semuda 20 tahun ini sudah memahami erti pengorbanan dalam perjuangan. Saya teragak-agak untuk menerimanya, mungkin duit ini telah dikumpulnya sikit demi sikit berbulan lamanya , fikir saya. Semoga Allah merahmati dan membalas segala jasa baik Anak muda ini. Saya berdoa mudah-mudahan dia bakal menyambung perjuangan yang suci ini. Zuddin, engkau bakal mengembalikan kegemilangan tamadun Islam di Melaka satu hari nanti. Amin.

20080502

Foto aktiviti

Bersama YB Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh ADUN Sg Abong , Parlimen Bakri, Johor semasa menghadiri jemputan di Telok Mas , Melaka.

Foto aktiviti

Menghadiri jemputan jamuan bersama masyarakat Cina dan India di Air Kuning , Gemencheh